
Laporan/foto: Lyana Athirah Mohd Saad/Noor Syuhada Mohd Yasin (Pokok Sena)
ALOR SETAR, 14 Sep (MalaysiaAktif) – Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, Komuniti MADANI Jalan Tun Razak – Jalan Stadium dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Alor Malai telah menganjurkan Konvoi Jiwa@Merdeka melibatkan penyertaan lebih 30 buah motosikal dan beberapa buah kereta.

Peserta berhenti seketika di dataran hadapan Masjid Zahir.
Konvoi bermula di perkarangan Kompleks Perniagaan Jelatek, melalui laluan utama merentasi kawasan bandar dan kampung termasuk Jalan Langgar, Hutan Kampung, Kepala Batas, Pantai Johor, Kubang Rotan, Kuala Kedah, Jalan Pegawai, hadapan Masjid Zahir, Muzium Kedah dan berakhir semula di Jelatek.
“Semangat jiwa merdeka terus dipupuk dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda yang menjadi pewaris kepimpinan negara,” kata Pengerusi MadaCorp Mohd Asmirul Anuar Aris, ketika menyampaikan ucapan perasmiannya, di sini semalam.

Sesi bergambar bersama sebelum pelepasan konvoi.
Sementara itu, Penyelaras Komuniti MADANI Jalan Tun Razak – Jalan Stadium Lyana Athirah Mohd Saad, menyampaikan taklimat mengenai penipuan dalam pekerjaan, penipuan pakej pelancongan serta taktik scammer di media sosial, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap jenayah siber yang kian berleluasa.
Ketua PEKIDA Ranting Alor Malai Mohd Izwan Aswad Abdullah berkata program itu bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme, malah mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pertubuhan belia dan komuniti MADANI.
-RI





