
Laporan/foto: Florinah Lunsin (Kudat)
KUDAT, 14 Sep (MalaysiaAktif) – Program berunsur kemasyarakatan wajar terus diperkasa bagi memperkukuh hubungan antara pasukan keselamatan dengan penduduk setempat demi mewujudkan komuniti yang selamat, harmoni dan bersatu padu.
Usaha ini diterjemahkan melalui Program Kemasyarakatan dan Perayaan N.1 Banggi yang berlangsung di Pulau Banggi, Kudat, dengan penekanan terhadap aspek keselamatan serta isu semasa yang perlu diberi perhatian masyarakat.
Dalam sesi bersama komuniti, Ketua Polis Balai Karakit, Pulau Banggi, ASP Mohd Yassin Sagap menekankan kepentingan langkah pencegahan dalam menjaga keselamatan harta benda, keluarga dan masyarakat.

Yassin menyampaikan ceramah keselamatan kepada komuniti.
“Keselamatan jalan raya juga perlu diberi perhatian dengan mematuhi undang-undang. Selain itu, kesejahteraan Pulau Banggi memerlukan kerjasama semua pihak demi kebaikan bersama,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Dewan ESSCOM, Pulau Banggi, pada Sabtu.
Seorang peserta program, Jaidal Antah, 53, dari Kampung Damaran, berkata inisiatif itu perlu dijadikan program tahunan khususnya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, terutamanya golongan belia.

Jaidal berkongsi pandangan mengenai penganjuran program.
“Saya sangat bersyukur kerana berpeluang membawa komuniti dari Kampung Damaran walaupun jaraknya lebih 22 kilometer untuk hadir ke sini. Sumbangan yang diberikan juga amat bermakna buat kami. Ceramah yang disampaikan sangat berguna kerana keselamatan perlu sentiasa diberi keutamaan. Saya berharap pada masa akan datang program sebegini lebih meriah dengan kehadiran lebih ramai peserta,” ujarnya.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kudat dengan kerjasama Komuniti MADANI, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Polis Diraja Malaysia itu bermula seawal jam 9 pagi dengan doa kesyukuran sempena Hari Malaysia, diikuti ucapan Pegawai Penerangan Daerah Kudat serta ceramah keselamatan dan isu semasa.
-RJ-





