Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Larian Budaya Cerminan Komuniti Sihat dan Aktif

By 15 September 2025September 16th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Shazreen Suradi/Al Mokhlis Abdul Rahman

MUAR, 15 Sep (MalaysiaAktif) – Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @ Komuniti MADANI Perihatin Sungai Balang dan Komuniti MADANI Seri Menanti sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 berjaya menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat setempat.

Pelepasan Larian Budaya di Perkarangan Jeti Kampung Sungai Kelat.

Bertempat di Perkarangan Jeti Kampung Sungai Kelat, program yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat itu berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian berbentuk kesihatan, kebudayaan dan kenegaraan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani Datuk Ashari Md Sarip berkata penganjuran program seumpama itu bukan sahaja mencerminkan komitmen masyarakat dalam memupuk semangat cintakan negara, malah turut memperkukuh perpaduan pelbagai lapisan masyarakat.

“Program ini telah berjaya menyatukan masyarakat tanpa mengira usia dan bangsa dalam suasana sihat serta aktif.

“Inilah semangat sebenar yang perlu terus dipupuk, khususnya sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan acara pelepasan Larian Budaya sejauh 2.5 kilometer merentasi persisiran pantai Kampung Sungai Kelat, di sini semalam.

Selain aktiviti larian, program turut diserikan dengan penyampaian naratif isu-isu semasa oleh Pegawai Penerangan Daerah Muar Fairuzan Abdul Majid antaranya mengenai pemberian insentif MySARA RM100 serta kempen Sambutan Hari Malaysia 2025 yang bakal berlangsung di Pulau Pinang.

Fairuzan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Pakaian Beragam Merdeka.

Menurutnya pengisian seperti itu penting bagi memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat berkaitan dasar serta inisiatif kerajaan.

“Kita mahu komuniti sentiasa peka dengan maklumat semasa, di samping menghayati semangat patriotik melalui aktiviti berunsur kebersamaan dan kebudayaan,” jelasnya.

Pelbagai pengisian lain turut diadakan termasuk pertandingan pakaian beragam merdeka, pertandingan hiasan halaman merdeka, sukaneka, cabutan bertuah dan persembahan nyanyian lagu patriotik yang bertujuan mengeratkan semangat muhibah serta menerapkan nilai kenegaraan dalam kalangan masyarakat.

Turut hadir Ahli Majlis Perbandaran Muar (MPM) Zaiton Ismail dan Penghulu Tertinggi Daerah Mukim Sungai Balang Khalim Abdullah.

-RI

Tinggalkan komen anda