
Laporan/foto: Amalina Shazwani Suhaimi/Shamsul Bahari Abdul Shukor
BUTTERWORTH, 16 Sep (MalaysiaAktif) – Suasana meriah menyelubungi perkarangan Pusat Komuniti dan Kebudayaan Antarabangsa Pulau Pinang (PICCA) di sini sempena Sambutan Hari Malaysia yang berlangsung hari ini.

Fahmi mengambil peluang beramah mesra bersama pengunjung yang hadir.
Seawal pukul 9 pagi orang ramai terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat usia mula membanjiri lokasi acara bagi bersama-sama menyemarakkan semangat patriotisme melalui pelbagai aktiviti menarik yang disusun.
Kemeriahan acara turut diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang meluangkan masa meninjau setiap ruang pameran sambil beramah mesra dengan para pengunjung.
Ruang legar PICCA dipenuhi reruai pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, antaranya Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang serta Astro Radio.
Antara aktiviti tumpuan ialah Pertandingan Mewarna Keluarga, selain Pameran Hari Malaysia 2025 bertemakan ‘Menelusuri Zaman’ yang membawa pengunjung mengimbau perjalanan sejarah negara melalui pameran pakaian tradisional, peralatan warisan dan artifak lama yang sarat nilai nostalgia.
Turut dipamerkan ialah koleksi foto khas yang merakamkan detik-detik penting sambutan Hari Malaysia sebelum ini.

Ignatius Lim (kiri) melihat pameran keratan akhbar lama tahun 1963.
Lebih menarik, pengunjung turut berpeluang menyaksikan demonstrasi penyediaan makanan tradisional seperti ubi kayu rebus, pulut ikan masin dan pelbagai jenis kuih tempatan yang semakin jarang ditemui, sekali gus menghidupkan kembali warisan kulinari yang menjadi kebanggaan generasi terdahulu.
“Saya paling suka Pameran Menelusuri Zaman, rasa bangga melihat sejarah negara kita masih dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi muda,” ujar Ignatius Lim, 28, salah seorang pengunjung ketika ditemui.
Acara kemuncak malam ini dijangka lebih gilang-gemilang dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyempurnakan majlis perasmian Sambutan Hari Malaysia 2025 sekitar pukul 8.30 malam.
-RI





