
Laporan/ foto : Eleannor Bedai Tinggom/Habil Rus (Sarawak)
KANOWIT, 16 Sep (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 anjuran Komuniti MADANI Rantau Kemiding di Rumah Joseph James di sini, semalam disambut meriah dengan kehadiran 300 peserta terdiri daripada ketua-ketua masyarakat, ketua-ketua kaum dan masyarakat setempat di sekitar kawasan Ranan, Nanga Sekuau, Geremai dan Lipus Kanowit.
Program sempena Bulan Kebangsaan di rumah panjang itu dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong.
Ketika berucap merasmikan program, Allan berkata demi menjaga keamanan dan keharmonian di negara ini perpaduan antara kaum harus dikekalkan sepanjang masa dan apa yang berlaku di luar negara dijadikan iktibar bersama.

Penyerahan Jalur Gemilang dan Poster HKHM merupakan simbolik peramian prograM HKHM di Rumah Joseph James.
“Jika kita lihat di luar negara, kekacauan sering berlaku dan terkini di Indonesia, sedangkan mereka juga berbilang kaum namun kesepakatan dan sikap menghormati sesama mereka agak rendah,” katanya lagi.
Allan menambah akibat daripada situasi begitu kekecohan sering berlaku di negara itu, berbeza sama sekali dengan Malaysia yang sentiasa aman dan damai.
“Sebaliknya, kita di Malaysia sangat unik kerana mempunyai kepelbagaian kaum seperti Melayu, Cina, India, Iban dan lain-lain namun kita mampu berkerjasama menjaga dan mengekalkan keharmonian demi kesejahteraan bersama,” katanya lagi.

Allan (kiri) menyerahkan sumbangan RM 2 ribu kepada Setiausaha Komuniti MADANI Rantau Kemiding Gerald Barnabas disaksikan Joseph James.
Pada program yang sama, beliau telah menyampaikan sumbangan tunai sebanyak RM2,000 kepada Komuniti MADANI Rantau Kemiding bagi merancang dan melaksanakan aktiviti komuniti sepanjang tahun 2025-2026.
Antara pengisian program sempena sambutan HKHM Komuniti MADANI Rantau Kemiding membabitkan aktiviti hiasan bendera Malaysia di kawasan rumah panjang, cabutan tiket bertuah, nyanyian lagu patriotik Jalur Gemilang, penyerahan bendera Malaysia dan penyerahan Poster HKHM 2025 kepada ADUN Machan.
-RJ-





