
Laporan/foto: Lyana Athirah/Noor Syuhada (Pokok Sena)
ALOR SETAR, 17 Sep (MalaysiaAktif) – Karnival Sukan Hari Malaysia Taman Nuri 2025 di Dewan Komuniti Taman Nuri, di sini semalam berlangsung dengan pelbagai acara menarik.
Pelbagai aktiviti diadakan antaranya perarakan basikal berhias Jalur Gemilang, persembahan seni silat, pertandingan pakaian beragam kanak-kanak, sukaneka, Jualan Rahmah, pertandingan mewarna, gubahan bunga, masakan, pakaian patriotik dan cabutan bertuah.

Aksi si cilik memperagakan pakaian berhias Jalur Gemilang.
Program yang melibatkan Komuniti MADANI Jalan Datuk Kumbar, Persatuan Penduduk Taman Nuri, Belia 4B Taman Nuri serta warga Taman Nuri dan kawasan sekitarnya itu dimeriahkan dengan penglibatan pelbagai lapisan umur daripada kanak-kanak hinggalah warga emas yang sama-sama menyemarakkan semangat patriotisme.
Menurut ahli Komuniti MADANI Jalan Datuk Kumbar Surina Bahari, 50, setiap tahun penduduk di kawasan itu akan menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Kali ini lebih meriah kerana disertai lebih ramai penduduk dan pelbagai aktiviti yang mampu mengeratkan silaturahim,” katanya.

Persembahan seni silat oleh Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kota Setar Bahagian Negeri Kedah (Gelanggang Taring Harimau Fighter Academy)
Kemeriahan program terus terserlah dengan persembahan silat oleh Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kota Setar Bahagian Negeri Kedah (Gelanggang Taring Harimau Fighter Academy) serta penyertaan kanak-kanak yang tampil dengan pakaian berhias Jalur Gemilang.
Majlis perasmian disempurnakan wakil Ketua Polis Daerah Kota Setar DSP Mohamad Shahadat Mohamad Noor yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam menjayakan penganjuran tersebut.
-RI





