
Laporan/foto: Nurul Ain/Shamsul Bahari
BUTTERWORTH, 17 Sep (MalaysiaAktif) – Pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah Sambutan Hari Malaysia 2025 mencerminkan kepelbagaian budaya serta keharmonian hidup rakyat berbilang kaum, agama dan latar belakang di Malaysia.
Sambutan yang berlangsung penuh meriah di Pusat Komuniti dan Kebudayaan Antarabangsa Pulau Pinang (PICCA) malam tadi turut menyaksikan kehadiran ribuan pengunjung bagi meraikan ulang tahun ke-62 pembentukan Malaysia.

Fahmi menyampaikan ucapan alu-aluan selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dalam ucapannya menegaskan bahawa semangat kebersamaan dan perpaduan merupakan teras kekuatan negara sejak penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.
“Hari Malaysia bukan sekadar memperingati tarikh pembentukan negara, malah menjadi simbol penyatuan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan latar belakang dalam membina sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan sejahtera,” katanya.
Menurut Fahmi semangat patriotik perlu terus dipupuk dalam kalangan rakyat agar obor kecintaan kepada tanah air kekal menyala dan diwarisi generasi seterusnya.
“Tarikh keramat 16 September bukan sekadar mengenang pembentukan negara kita, malah menjadi lambang penyatuan seluruh rakyat,” katanya.

Dianggarkan lebih 10,000 pengunjung membanjiri PICCA bagi bersama-sama meraikan Hari Malaysia ke-62.
Pulau Pinang juga bagi Fahmi adalah contoh hidup perpaduan, khususnya di kawasan ‘Street of Harmony’ di George Town yang menempatkan masjid, gereja dan kuil secara bersebelahan sekali gus menjadi cerminan bahawa perpaduan di negeri itu bukan sekadar slogan tetapi realiti yang hidup subur.
“Pulau Pinang membuktikan bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi menjadi amalan yang hidup subur dalam kalangan rakyatnya,” jelas beliau.
Majlis dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam serta Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
-RI





