
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 18 Sep (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Malaysia peringkat daerah Pekan mencipta kelainan apabila apabila aktiviti gotong-royong membersihkan pantai menjadi salah satu agenda sambutan tahun ini.

Karl Shafek (kanan) dan pelakon Norkhiriah turut mengutip sampah di kawasan sekitar Pantai Tanjung Gosong.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pekan Mohd Nasir Jusoh, tanggungjawab menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan aktiviti gotong-royong ini dan aktiviti sebegini menunjukkan betapa pentingnya semangat perpaduan dan tanggungjawab sosial masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan perasmian, di sini kelmarin.

Seorang pelancong asing dari Kanada turut bersama dalam aktiviti gotong-royong.
Program itu merupakan inisiatif pempengaruh terkenal Karl Shafek, yang mendapat kerjasama erat daripada Kelab Anak Muda Perbandaran Pekan, Majlis Perbandaran Pekan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Selangor serta orang ramai.
Seramai 300 orang peserta turut serta dan berjaya mengumpulkan kira-kira dua tan sampah di kawasan pantai berdekatan Kem Tango, Pantai Tanjung Gosong.
-RI





