Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pelajar SMK Seri Enggang Lemas di Lata Mengkuang

By 18 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Hafiz Izham (Sik)

SIK, 18 Sep (MalaysiaAktif) – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Enggang ditemui lemas ketika mandi-manda bersama rakannya di Lata Mengkuang, di sini tengah hari kelmarin.

Anak sulung daripada dua beradik itu dilaporkan singgah ke kawasan rekreasi berkenaan untuk beriadah selepas menyertai program berjalan ria di Kampung Jelutong.

Muhamad Hanif Anaqi Muhammad Khaled lemas ketika mandi di Lata Mengkuang, Sik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.16 tengah hari.

Beliau berkata sepasukan tujuh anggota dari BBP Sik diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Shahril Salleh tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa Muhamad Hanif Anaqi Muhammad Khaled sudah ditemui orang awam di kedalaman air kira-kira empat meter. Anggota dari Unit Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) BBP Sik memberi bantuan pernafasan pada peringkat awal namun tiada tindak balas.

“Remaja itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut guru SMK Seri Enggang, mangsa merupakan calon Ketua Pengawas sekolah dan dikenali sebagai pelajar berdisiplin serta berbudi pekerti mulia.

Muhammad Hanif Anaqi juga katanya turut mengharumkan nama sekolah setelah muncul juara pertandingan robotik tahun lalu dan naib johan bagi edisi tahun ini.

Pemergian pelajar berkenaan memberi kesan mendalam kepada keluarga, lebih-lebih lagi beliau merupakan harapan ibu dan bapa yang uzur serta tidak mampu bergerak dengan baik.

-RI

Tinggalkan komen anda