Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

27,642 Peneroka FELDA DUN Johor Lama Terima Manfaat Inisiatif Kerajaan Negeri

By 18 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ashikin Mustafa (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 18 Sep (MalaysiaAktif) – Seramai 27,642 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama menerima manfaat menerusi Majlis Penyerahan Inisiatif Memperkasa Komuniti FELDA Negeri Johor 2025.

Norlizah Noh ketika berucap di Majlis Penyerahan Inisiatif Memperkasa Komuniti Felda Negeri Johor 2025 DUN Johor Lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama Norlizah Noh berkata program berkenaan adalah sebahagian daripada 14 inisiatif diumumkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sempena sambutan Hari Peneroka FELDA yang lalu sebagai tanda komitmen kerajaan negeri memperkukuh kesejahteraan masyarakat peneroka.

“Kerajaan Negeri Johor sentiasa komited memastikan kebajikan warga FELDA terus terpelihara. Bagi tahun 2025 sahaja, sejumlah RM4.62 juta diperuntukkan khusus bagi memperkasa komuniti FELDA di negeri ini,” katanya ketika ditemui di Dewan Besar FELDA Air Tawar 2, di sini semalam.

Terdahulu, Norlizah menyempurnakan program berkenaan selain turut menyampaikan simbolik Bakul Kasih Johor kepada 2,927 peneroka.

Beliau menambah FELDA di Johor sering dianggap sebagai ‘anak emas’ kerajaan negeri dan pemberian Bakul Kasih Johor membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan warga peneroka.

Penyerahan cek cura di majlis Inisiatif Memperkasa Komuniti FELDA Negeri Johor 2025.

Selain Bakul Kasih Johor bernilai RM100 setiap satu, kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan tambahan termasuk RM10,000 kepada setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) FELDA, RM5,000 kepada Gerakan Persatuan Wanita (GPW) FELDA, RM5,000 kepada Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) FELDA serta RM5,000 kepada masjid dan surau di kawasan FELDA.

“Peruntukan sebegini bukan mudah disalurkan kepada komuniti lain, namun warga FELDA amat bertuah kerana terus menjadi keutamaan kerajaan negeri,” jelasnya.

Turut hadir Pengarah FELDA Wilayah Johor Bahru Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab dan ADUN Sedili Muszaidee Makmor serta Pengurus FELDA Air Tawar 2 Mohd Aswat Othman.

-RI

Tinggalkan komen anda