
Laporan/foto: Memi Yusoff/Hazel (Selangor)
SHAH ALAM, 18 Sep (MalaysiaAktif) – Kerajaan masih dalam proses meneliti pelbagai pandangan sebelum memuktamadkan definisi rasmi bagi akta baharu anti-buli yang sedang digubal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika memberi ucapan di majlis Sesi Townhall Anti Buli #Generasi Tanpa Buli Peringkat Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata maklum balas yang diterima melalui portal Generasi Tanpa Buli sejak ia dilancarkan 11 September lalu menunjukkan rakyat mahukan akta yang lebih menyeluruh dan tidak terhad kepada golongan bawah 18 tahun sahaja.
“Kita terima pelbagai cadangan, termasuk permintaan agar akta ini mempunyai definisi yang jelas mengenai buli serta penubuhan tribunal khas untuk mempercepatkan penyelesaian kes,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Townhall Anti Buli #Generasi Tanpa Buli peringkat Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Azalina berkata kerajaan sedang meneliti setiap pandangan termasuk daripada golongan pendidik yang hadir pada sesi libat urus tersebut.
“Ramai guru beri pandangan dari perspektif sekolah, ada juga yang kata kalau adanya akta, mesti ada definisi dan ramai juga mahu tribunal diwujudkan serta prosesnya perlu cepat diselesaikan”, katanya.
Beliau berkata selepas sesi di Selangor, siri jelajah akan diteruskan esok ke Johor, diikuti wilayah utara pada minggu hadapan bagi mendapatkan lebih banyak pandangan daripada masyarakat.
“Kalau tak sempat habis sesi sebelum 30 September, kita akan gabungkan empat zon, insya-Allah bulan Oktober nanti, saya akan ke universiti, akademi, termasuk institusi tentera dan polis kerana mereka juga ada sistem dalaman tersendiri,” katanya.

Sesi Soal Jawab Town Hall Tribunal Antibuli: #generasitanpabuli.
Menurutnya antara cabaran utama dalam penggubalan akta tersebut ialah mentakrifkan ‘buli’ secara tepat kerana tafsirannya berbeza mengikut institusi dan budaya.
“Kita tak boleh ikut definisi antarabangsa, Malaysia negara berbilang kaum dan agama. PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) mungkin ada pandangan lain, sekolah lain, kementerian lain dan NGO (badan bukan kerajaan) lain juga ada pandangan berbeza,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa beberapa perbuatan yang telah termaktub dalam undang-undang sedia ada seperti gangguan seksual dan perbuatan mengaibkan juga boleh dikategorikan sebagai buli.
Pada masa sama, Azalina menyeru orang ramai untuk terus berkongsi pandangan melalui portal Generasi Tanpa Buli agar akta yang bakal dibentangkan Disember ini benar-benar efektif dan menyeluruh.
“Pandangan masyarakat amat penting, kita mahu akta ini benar-benar mencerminkan keperluan rakyat dan bukan sekadar satu undang-undang di atas kertas,” katanya.
-FN





