
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Ling Tian Soon
JOHOR BAHRU, 19 Sep (MalaysiaAktif) – Sistem kesihatan negeri Johor terus diperkukuh apabila sebanyak 20 unit ambulans jenis B diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

Penyerahan aset baharu ini hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Johor dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan lebih cekap dan setaraf. – Ling Tian Soon.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata penyerahan tersebut merupakan fasa pertama daripada keseluruhan 46 unit ambulans baharu yang akan diterima Johor secara berperingkat.
“Daripada jumlah tersebut, sembilan unit merupakan ambulans jenis A manakala 37 unit adalah jenis B. Ketibaan 20 unit pada hari ini akan diagihkan ke hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Antara fasiliti kesihatan yang menerima penempatan ambulans baharu termasuk Hospital Pasir Gudang (dua unit), Klinik Kesihatan Bandar Mas, Klinik Kesihatan Bukit Waha, Klinik Kesihatan Bandar Penawar, Klinik Kesihatan Jemaluang, Klinik Kesihatan Seri Menanti, Klinik Kesihatan Pekan Nenas, Klinik Kesihatan Kulai, Klinik Kesihatan Yong Peng, Klinik Kesihatan Simpang Renggam, Klinik Kesihatan Segamat serta beberapa fasiliti lain.

Sebanyak 20 unit ambulans baharu jenis B diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini. Penyerahan fasa pertama ini merupakan sebahagian daripada 46 ambulans baharu yang akan diterima secara berperingkat.
Beliau berkata penyerahan aset baharu itu hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri Johor dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dan setaraf.
“Dengan pertambahan ambulans ini, akses kepada rawatan kecemasan akan menjadi lebih pantas, sekali gus membantu mengurangkan risiko komplikasi kesihatan serta menyelamatkan lebih banyak nyawa,” katanya.
Selain penyerahan ambulans, kerajaan negeri turut memperuntukkan bajet tambahan bagi memperkukuh fasiliti kesihatan di negeri berkenaan termasuk RM3.46 juta bagi pemindahan perkhidmatan Klinik Ibu dan Anak Hospital Sultanah Ismail (HSI) serta Pusat Pembekalan Ubat Susulan Setempat (PPUSS).
“RM1 juta pula bagi pembangunan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Gelang Patah serta sejumlah peruntukan untuk Hospital Pasir Gudang dan Hospital Sultanah Aminah,” katanya.
-RI





