Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajaya

BUDI95: Lagi Hadiah untuk Rakyat dari Kerajaan MADANI

By 22 September 2025Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi/FB Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 22 Sep (MalaysiaAktif) — “Satu demi satu hadiah untuk rakyat.” Demikian dapat digambarkan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan penghargaan subsidi RON95, selepas bantuan sekali bayar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang sebelum ini memberi kelegaan kepada jutaan isi rumah, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika mengumumkan berita gembira di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) itu berkata harga bahan bakar tersebut dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter berkuat kuasa 30 September ini.

“Manfaat dan keistimewaan ini adalah penghargaan dan pengiktirafan…semangat dari Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Ia penghargaan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya ketika mengadakan perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan September 2025, di sini hari ini.

Anwar berkata data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menganggarkan 16 juta rakyat Malaysia bakal menerima manfaat tersebut.

“Warganegara dengan lesen memandu yang sah (layak menerima subsidi)…yang belum renew, sila perbaharui. Kalau yang perlu semak cip MyKad sekarang…Mykad itu sudah lusuh, check supaya berfungsi.

“Jadi, seperti SARA, tidak perlu lagi pendaftaran lain. Tiada. Cuma bawa MyKad dan ada lesen sah. Pembaca MyKad juga akan disediakan di kedai pam minyak. Ada juga pilihan lain seperti Touch ‘n Go dan aplikasi Setel untuk bantu kurangkan kesesakan,” katanya.

Bagi menjamin kelancaran penyasaran subsidi BUDI95, Anwar berkata ia akan dimulakan secara berperingkat dengan anggota polis dan tentera akan menikmati penghargaan tersebut lebih awal iaitu pada 27 September, diikuti golongan B40 yang merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula pada 28 September.

Pelaksanaan itu juga katanya supaya rakyat dapat membiasakan diri dengan mekanisme RON95 secara berperingkat.

Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam suatu kenyataan memaklumkan semua rakyat layak menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.

“Pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.

“Siling kelayakan bulanan ini ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, di mana lebih 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia tidak melepasi jumlah ini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, rakyat rata-ratanya menyambut baik penghargaan oleh Kerajaan MADANI tersebut dengan menyifatkannya sebagai bukan sekadar janji tetapi solusi konkrit dengan semua rakyat di setiap lapisan memperoleh manfaatnya tanpa mengira status ekonomi masing-masing.

Pegawai Staf 2 Perhubungan Raya di Sel Perhubungan Raya Tentera Darat Lt Kol Muhammad Afifi Azham Mohd melahirkan kesyukuran atas penghargaan Kerajaan MADANI tersebut.

Mewakili rakan-rakan seperjuangan, Muhammad Afifi Azham yang telah 17 tahun berkhidmat bersama Tentera Darat Malaysia berkata langkah proaktif kerajaan itu bukan sekadar mengurangkan kos sara hidup, tetapi satu pengiktirafan kepada para petugas barisan hadapan negara itu.

“Terima kasih atas usaha murni kerajaan yang jelas menunjukkan keprihatinan terhadap denyut nadi rakyat,” katanya kepada Malaysia Aktif hari ini.

Sementara itu, anggota polis Sarjan Mejar Mohd Hazizi Abd Karim berpendapat subsidi bersasar itu membolehkan anggota keselamatan sepertinya menikmati bahan bakar berkenaan pada harga lebih murah, sekali gus meningkat kesejahteraan keluarga apabila berlakunya penjimatan.

Pada masa sama, bapa kepada dua cahaya mata itu melihat pengumuman oleh Anwar hari ini juga sebagai simbolik penghargaan berterusan kerajaan terhadap peranan pasukan keselamatan dalam menjaga keamanan negara.

“Kemudahan penggunaan MyKad dan aplikasi digital juga memudahkan proses pengisian minyak tanpa karenah birokrasi dan secara keseluruhannya, BUDI95 adalah inisiatif MADANI yang menyokong kebajikan serta moral pasukan uniform,” katanya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Sementara itu, rakyat turut menyokong kaedah pelaksanaan BUDI95 yang menggunakan pengesahan lesen memandu aktif sebagai syarat kelayakan, kerana ia bukan sahaja memastikan subsidi diagihkan secara lebih tersusun, malah secara tidak langsung menggalakkan orang ramai memperbaharui dan memiliki lesen yang sah.

Langkah itu disifatkan mampu mengurangkan jumlah pemandu tanpa lesen di jalan raya, sekali gus membantu menurunkan risiko kemalangan serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

“Bagus kerajaan guna syarat lesen sah ini. Sekurang-kurangnya orang akan lebih bertanggungjawab untuk perbaharui lesen masing-masing. Kalau semua ada lesen, jalan raya pun lebih selamat.

“Bila kerajaan tetapkan lesen memandu sebagai syarat, kami rasa lebih terjamin sebab ia dapat kurangkan pemandu tanpa lesen. Bagi kami yang bawa penumpang setiap hari, keselamatan di jalan raya sangat penting,” kata pemandu e-hailing Mohamad Sharul Akmal Abdul Aziz.

Tinggalkan komen anda