
Laporan/ foto : George Humprey Dolek (Sarawak)
SERIAN, 23 Sep (MalaysiaAktif) – Aktiviti gotong-royong yang selalu dilaksanakan mana-mana komuniti terutamanya di luar bandar merupakan antara medium terbaik memupuk nilai kerjasama, mengerat hubungan silaturahim dan memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Semalam, Komuniti MADANI Kampung Bidak Mawang di sini telah menganjurkan program gotong-royong bagi membersihkan kawasan dam atau empangan air paip graviti yang terletak kira-kira 30 minit berjalan kaki dari Kampung Bidak Mawang.
Seramai 30 ahli Komuniti MADANI bersama penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan berkenaan, termasuk mengutip daun kering dan ranting bagi memastikan aliran air tidak tersekat sekali gus menjamin bekalan air paip graviti terus mengalir lancar ke rumah penduduk.

Ahli Komuniti MADANI gigih membersihkan kawasan dam air paip graviti.
Menurut Ketua Kaum yang juga Ketua Komuniti MADANI Kampung Bidak Mawang Ronald Sajak bekalan air paip graviti masih sangat relevan dan menjadi pilihan penduduk, khususnya bagi yang tinggal di kawasan tanah tinggi dalam menjadi sumber alternatif bekalan air bersih ke rumah mereka.
“Penduduk kampung secara berjadual menjalankan gotong-royong membersihkan dam air paip graviti sekurang-kurangnya tiga kali setahun dan selain memastikan kawasan empangan bersih, kami juga membuat pemeriksaan pada setiap sambungan saluran paip dan penapis supaya sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau menambah, gotong-royong itu juga bertujuan memastikan penduduk kampung sentiasa menikmati bekalan air yang bersih dan selamat untuk digunakan melibatkan air paip bersih kerajaan atau air paip graviti.

Ennie Rijuh, salah seorang ahli Komuniti MADANI Kampung Bidak Mawang turut serta dalam gotong-royong.
“Kami tidak perlu bimbang sekiranya berlaku gangguan bekalan air terawat daripada kerajaan kerana sistem air paip graviti ini banyak membantu, khususnya ketika berlaku gangguan, sebagai sumber alternatif yang tetap tersedia,” katanya lagi.
Menurutnya semangat tersebut bukan sahaja memperlihatkan kerjasama semua pihak dalam menjaga kemudahan asas di kampung mereka malah merapatkan hubungan antara satu sama yang juga sebagai wadah penyatuan.
-RJ-





