
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 24 Sep (Malaysiaaktif) – Pusat Pungutan Zakat–Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima zakat perniagaan berjumlah RM2.4 juta daripada CIMB Islamic Bank.

Ahmad Suhaimi (kiri) melafazkan niat zakat perniagaan di hadapan Abdul Hakim.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPZ- MAIWP Datuk Abdul Hakim Amir Osman bayaran zakat itu adalah bukti komitmen CIMB Islamic Bank sebagai sebuah institusi kewangan Islam terkemuka tanah air dalam melaksanakan kewajipan zakat perniagaan mereka.
“Bayaran ini bukan sahaja menzahirkan tanggungjawab syarikat terhadap Allah SWT, malah ia juga menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan ummah khususnya golongan asnaf di Wilayah-wilayah Persekutuan.
“Kami di PPZ-MAIWP amat menghargai komitmen CIMB Islamic Bank yang saban tahun konsisten menunaikan zakat perniagaan mereka dan usaha ini wajar dijadikan contoh oleh syarikat-syarikat lain yang mana ianya bukan sekadar memberi sumbangan dalam bentuk material, tetapi juga membina ekosistem ekonomi Islam yang mampan, berkat dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Serahan Zakat Perniagaan Cimb Islamic Bank Dan Sumbangan Wakalah, di sini pagi tadi.

Abdul Hakim (tengah) bersama tetamu jemputan bergambar kenangan bersama para hadirin.
CIMB Islamic melalui dana wakalahnya turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM523,771 meliputi RM150,000 untuk penyediaan pakaian sukan pelajar-pelajar sekolah rendah, RM149,771 bagi bantuan mengajar kepada sekolah-sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Sumbangan turut melibatkan RM60,000 bagi sumbangan Food Bank di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dan Kolej Matrikulasi Labuan serta RM164,000 untuk pembelian empat unit mesin dialisis di Pusat Hemodialisis MAIWP Labuan.
Hadir sama Ketua Serantau, Penasihatan Shariah dan Tadbir Urus CIMB Islamic Bank Ahmad Suhaimi Yahya.
-RI





