
Laporan/ foto : Aishah Latip/ Indah Putra/ Felix Harus (Sarawak)
LUNDU, 24 Sep (MalaysiaAktif) – Daerah Lundu kembali mendapat perhatian dalam arena bina badan apabila atlet tempatan, Jwendy Joshua, dinobatkan sebagai juara keseluruhan Champion of Champions (CoC) dalam pertandingan Mr Kuching 2025 yang berlangsung pada 9 Ogos lalu.
Kejayaan membanggakan itu dicapai selepas beliau menjadi johan kategori Bina Badan 75.1 kg ke atas, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai atlet terbaik dalam kejohanan tersebut.
Susulan kemenangan itu, Jwendy terpilih mewakili Kuching ke pertandingan Mr. Sarawak yang diadakan di Miri pada 5 dan 6 September lepas.
Dalam pertandingan tersebut, beliau telah menjuarai kategori Light Middleweight 80 kg dan turut meraih gelaran Naib Johan keseluruhan Mr. Sarawak 2025.

Billy Sujang, (tiga kiri) menyampaikan sumbangan berjumlah RM 3 ribu kepada Jwendy bagi membiayai kos penyertaan ke MR Malaysia peringkat kebangsaan.
Pencapaian tersebut melayakkan beliau mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan, iaitu Mr. Malaysia 2025, yang dijadual berlangsung di Kuantan, Pahang bermula esok sehingga 29 September ini.
Kejayaan Jwendy meraih perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang yang menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM3,000 sebagai tanda sokongan terhadap usaha gigih anak muda tersebut, selain membantu menampung kos penyertaan ke peringkat kebangsaan.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa kerja keras dan ketekunan tidak pernah sia-sia. Jwendy, yang berasal dari Kampung Sebiris, Lundu, menjadi inspirasi kepada anak muda luar bandar bahawa sukan bina badan bukan sahaja melatih kekuatan fizikal, malah membentuk ketahanan mental dan disiplin diri,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penyampaian sumbangan, petang semalam.
Pencapaian Jwendy turut dianggap sebagai bukti bahawa daerah kecil seperti Lundu mampu melahirkan bakat besar yang berpotensi mengharumkan nama Sarawak di peringkat lebih tinggi.
-RJ-





