Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Pahang Komited Pelihara Alam Sekitar

By 25 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zayana Isa/Sh. Nurrul (Pahang)

PEKAN, 25 Sep (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Pahang komited menjadi negeri yang terkedepan dalam usaha memelihara alam sekitar.

Menteri Besar Datuk Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata Pahang masih mengekalkan kawasan berhutan yang dianggarkan seluas 2.057 juta hektar, iaitu lebih 57 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri.

Wan Rosdy melakukan gimik menanam pokok ke-12 juta sebagai komitmen Kerajaan Negeri Pahang untuk menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok

“Daripada jumlah itu, 1.596 juta hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal yang mana hutan simpan ini bukan sahaja menjadi benteng biodiversiti, malah sumber utama bagi kesejahteraan hidup rakyat melalui peranan sebagai tadahan air, penampan iklim dan penyokong ekosistem,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri Pahang, di sini, kelmarin.

Wan Rosdy turut menambah antara usaha yang sedang dilaksanakan termasuklah memperkasakan perundangan perhutanan.

Pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 telah dibuat, di samping mempergiatkan usaha mewartakan kawasan berhutan lain sebagai Hutan Simpanan Kekal, Hutan Tadahan Air dan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya, termasuk pewartaan Cadangan Hutan Simpan Kekal seluas 2,341.56 hektar.

Penjawat awam di negeri Pahang khususnya warga Jabatan Perhutanan Negeri Pahang perlu menjadi benteng pertahanan negeri

“Inilah kekuatan sebenar Pahang, negeri yang maju dalam pembangunan namun tetap konsisten mempertahankan khazanah alamnya,” katanya.

Ujarnya lagi, kakitangan awam khususnya warga Jabatan Perhutanan Negeri Pahang perlu menjadi benteng pertahanan negeri.

“Benteng bukan sahaja menjaga hutan daripada diteroka, tetapi juga menjaga keyakinan rakyat daripada digugat oleh persepsi, fitnah dan tohmahan yang cuba menjatuhkan kerajaan negeri.

“Ingatlah, kita bukan sahaja melindungi hutan daripada tangan yang rakus, tetapi juga melindungi minda rakyat daripada racun dakyah yang boleh meruntuhkan kesepaduan masyarakat,” katanya.

-AA-

 

Tinggalkan komen anda