
Laporan/ foto : Anim Abdullah/ Awang Sahari Kawi Awang Othman/Mohamad Irwan Huzairi (Sarawak)
MARUDI, 25 Sep (MalaysiaAktif) – Musim banjir yang melanda kawasan pedalaman Baram bukan sekadar cabaran, malah membuka peluang menambah rezeki buat penduduk Kampung Benawa di sini.
Bagi Kassim Mansor, 62, dari Kampung Benawa, fenomena ini membawa limpahan nikmat yang tidak ternilai dan beliau memanfaatkan pengalaman lebih sedekad menangkap dan menjual ikan sungai.
Sesetengah orang mungkin risau dan takut jika berlakunya banjir besar namun bagi Kassim, situasi banjirlah peluang untuk beliau memukat dan memancing pelbagai jenis ikan yang menjadi rebutan pembeli, antaranya ikan tapah, keli, baong dan biawan.

Ikan tapah antara ikan yang ditangkap dan dijual Kassim di Tamu Marudi.
“Ikan sungai dijual antara RM10 hingga RM55 sekilogram, bergantung kepada saiz dan jenis dan ikan tapah paling mahal iaitu RM50 sekilogram atau kalau yang sudah dipotong boleh mencecah RM55,” katanya ketika ditemui di Tamu Marudi, pagi tadi.
Beliau yang biasanya mula berniaga sekitar jam 8 atau 9 pagi, bergantung kepada hasil tangkapan juga berkata hasil jualan mampu mencecah sekitar RM1,000 sehari, terutama ketika musim ikan melimpah.

Ikan sungai atau ikan air tawar memang diminati ramai berbanding ikan air masin tetapi ia hanya mudah didapati di kawasan luar bandar.
“Kalau musim banyak ikan, saya akan turun ke Tamu Marudi lebih kerap, tetapi kalau bukan musimnya, jaranglah saya datang,” katanya lagi sambil tersenyum.
Suasana di Tamu Marudi pula bagaikan ada daya tarikan tersendiri apabila pembeli berpusu-pusu mendapatkan ikan segar malah tidak kurang juga mengakui ikan sungai lebih manis rasanya walaupun sukar diperolehi di luar kawasan pedalaman, berbanding ikan air masin.

Ikan kaloi (warna gelap) dan ikan mengalan (putih) antara ikan yang berjaya ditangkap dan dijual oleh Kassim.
Permintaan tinggi terhadap ikan sungai bagaikan rahmat kepada penjual ikan seperti Kassim yang menjadikan tamu ini medan penting bagi pertukaran hasil sungai dengan wang tunai, sekaligus merancakkan ekonomi setempat.
Di sebalik musibah, ramai yang cekal dan bersemangat serta bijak menghidu peluang seperti Kassim dan wajarlah apa yang beliau lakukan menjadi inspirasi kepada semua pihak agar tidak mudah putus asa menghadapi cabaran alam, sebaliknya bijak mencari peluang di sebaliknya.
-RJ-





