Skip to main content
Berita TempatanSabah

BUDI95 Ringankan Beban, Stabilkan Ekonomi Golongan Sasar

By 25 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Penampang)

PENAMPANG, 25 Sep (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) mendapat sambutan positif daripada masyarakat sekitar Penampang, dengan rata-rata menyifatkannya sebagai inisiatif yang meringankan beban rakyat.

Chekton Ted Anam berkongsi pandangan mengenai inisiatif BUDI95 yang disifatkannya mampu meringankan beban pengguna kenderaan.

Menurut pencipta kandungan, Chekton Ted Anam, 41, penurunan harga petrol RON95 menerusi program subsidi kepada RM1.99 seliter memberikan banyak manfaat kepada pengguna kenderaan.

“Memang bagus untuk semua pengguna kereta. Penurunan harga petrol ini sangat membantu dan saya berharap inisiatif ini dapat dikekalkan.

“Harga minyak yang lebih rendah ini memang satu kelegaan, terutama bagi kami yang bergantung kepada kenderaan untuk urusan harian,” katanya ketika ditemui semasa tinjauan reaksi rakyat terhadap BUDI95 di sini pada Rabu.

Bagi pekerja swasta, Ahmad Fadhil, 29, program subsidi bersasar itu dapat memastikan subsidi disalurkan kepada pihak yang layak.

Ahmad Fadhil menyifatkan pelaksanaan BUDI95 sebagai langkah baik kerana memastikan subsidi sampai kepada rakyat yang layak.

“Ini satu pendekatan yang baik kerana dapat mengelakkan ketirisan subsidi. Dengan pelaksanaan BUDI95, kita tahu rakyat tempatan, khususnya warganegara, benar-benar menikmati harga petrol yang lebih rendah. Subsidi ini memang hak rakyat dan langkah kerajaan ini wajar disokong,” jelasnya.

Sementara itu, pelajar kolej swasta, Siti Nur Ain Nabilah Arib, 20, menyifatkan pengurangan harga petrol memberi kesan langsung kepada perbelanjaan seharian dengan adanya ruang untuk masyarakat melaksanakan langkah penjimatan.

“Minyak digunakan setiap hari, jadi penurunan harga yang ketara ini memang sangat membantu pengguna. Pada saya, program ini wajar diteruskan kerana memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

BUDI95 akan mula dilaksanakan secara menyeluruh bermula 30 September ini dengan manfaat subsidi sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan kepada setiap warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah dan aktif.

-RJ-

Tinggalkan komen anda