
Laporan/foto: Nur Shahrina Amran (Tangkak)
TANGKAK, 26 Sep (MalaysiaAktif) – Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat daerah Tangkak terus diperkukuh melalui penganjuran pelbagai program kesihatan.
Pentadbir Tanah Daerah Tangkak Ab Rahman Mohamed@Ismail yang mewakili Pegawai Daerah Tangkak berkata penganjuran program tersebut membuktikan komitmen berterusan masyarakat dalam memelihara kesihatan diri dan komuniti.

Turut diadakan pelancaran e-book Fit Ledang.
“Kesejahteraan bukan hanya tanggungjawab Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semata-mata, sebaliknya usaha bersama seluruh lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan majlis yang berlangsung di Taman Negara Gunung Ledang, di sini semalam.
Tambah Ab Rahmah antara pengisian utama ialah Perhimpunan Pagi, senamrobik, program 100 Langkah Daerah Tangkak, Larian Hari Mental Sedunia 2025 serta Karnival ANMS.
Majlis turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah penghargaan, antaranya Dengue Busters Award yang disampaikan kepada Faris Abdul Aziz daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tangkak, selepas daerah berkenaan dinobatkan sebagai Daerah Terbaik Penurunan Kes Denggi Johor 2024.
Selain itu, Anugerah Pergigian Kolaborasi Agensi Luar diberikan kepada Dr. Tan See Yee (Pearlfect Dental) dan Dr. Nur Afiqah Mohamad (Dental Cottage), manakala Anugerah Pergigian Kampung Angkat disampaikan kepada Suyar Basir, Ketua Kampung Sagil Parit 1 dan Konggo.
“Pengiktirafan ini adalah bukti kejayaan hasil kerjasama semua pihak. Saya yakin dengan komitmen berterusan, kita mampu membina masyarakat lebih sihat, sejahtera dan madani,” jelasnya.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak Nazid Jasiman, Pengarah Hospital Tangkak Dr. Zamry Ridzal A Rahim dan Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak DSP Jamellulkamal Abdul Halim.
-RI





