Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

MASCHON: NCSM Sasar Golongan Wanita, Orang Asli

By 26 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)/NCSM

IPOH, 26 Sep (MalaysiaAktif) – Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) menyasarkan 1,500 individu daripada golongan rentan yang terdiri daripada Wanita berpendapatan rendah (B40) dan komuniti Orang Asli dalam pelaksanaan Program Rangkaian Pusat Pencerapan Kesihatan Komuniti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) (MASCHON).

Tujuh kawasan parlimen telah dikenal pasti dan dipilih iailah Tambun, Batu Gajah, Alor Gajah, Kuala Kubu Bharu, Karak, Iskandar Puteri dan Pulau Pinang.

Prof. Dr. Murallitharan Munisamy Ketika menyampaikan ucapan di NCSM-CARITAS, Kampung Simee, kelmarin.

Menurut Pengarah Urusan NCSM Kol Bersekutu (PA) Prof. Dr. Murallitharan Munisamy, MASCHON penting bagi memperkasakan komuniti dengan ilmu serta maklumat mengenai kesihatan.

“Kami ingin memastikan bahawa wanita dan komuniti Orang Asli bukan sahaja menerima rawatan, tetapi turut terlibat aktif dalam memantau dan meningkatkan kesihatan mereka sendiri.

“Fokus utama kami termasuk mempromosikan penyertaan inklusif dalam SDG, terutamanya berkaitan isu kesihatan tempatan. Hal ini, seperti kesihatan seksual dan reproduktif, malnutrisi serta pencegahan dan pengurusan penyakit tidak berjangkit,” ujarnya.

Murallitharan hadir menyampaikan ucapan aluan sempena majlis perasmian MASCHON yang disempurnakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim di NCSM-CARITAS, Kampung Simee, di sini kelmarin.

Sementara itu, NCSM dalam satu kenyataan memaklumkan antara komponen pelaksanaan MASCHON termasuk menubuhkan pusat pemerhatian kesihatan yang dipimpin oleh komuniti setempat, menangani cabaran kesihatan, melatih 240 ejen pemantau komuniti dan mewujudkan lapan pusat pemerhatian kesihatan mikro di kawasan sasaran.

Tambah NCSM lagi, satu Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan MASCHON turut ditubuhkan bagi menjalankan pemetaan data komuniti Orang Asli di seluruh negara sebagai persediaan awal.

-RI

Tinggalkan komen anda