
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 26 Sep (MalaysiaAktif) – Dana berjumlah RM547,400 yang diperlukan untuk pembinaan Surau Al-Kausar, Jabatan Kesihatan Labuan berjaya dikumpul sepenuhnya.

Abdul Hakim semasa menyampaikan ucapan penghargaan kepada para Ketua-Ketua kampung yang turut hadir.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata sumbangan itu membantu merealisasikan pembinaan surau berkenaan sebagai pusat ibadah dan komuniti yang lebih selesa dan kondusif.
“Sesungguhnya nilai wakaf bukan diukur pada jumlahnya semata-mata tetapi pada niat dan keikhlasan hati kita, walau hanya RM5 sekalipun ia tetap akan menjadi saham akhirat yang pahalanya akan kekal berpanjangan,” katanya dalam Majlis Penghargaan Kempen Wakaf Surau Al-Kausar, di sini semalam.
Kempen wakaf surau berkenaan yang berlangsung sejak 1 Oktober 2024 hingga 31 Mac lepas telah mendapat sambutan menggalakkan daripada 27 buah kampung di Labuan dengan kerjasama pengerusi masjid dan surau setempat.

Abdul Hakim (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada salah seorang Ketua Kampung.
Jelasnya, dua buah kampung yang mencatat kutipan wakaf tunai tertinggi dalam kempen itu adalah Kampung Durian Tunjung dengan kutipan sebanyak RM29,993 manakala Kampung Tanjung Aru dengan kejayaan mengumpul sebanyak RM23,100.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengajak semua pihak meneruskan sokongan terhadap sebuah lagi projek wakaf yang sedang dilaksanakan di Labuan oleh PPZ-MAIWP, iaitu pembinaan empat unit rumah kediaman teres dua tingkat.
“Projek ini juga memerlukan sumbangan dan sokongan masyarakat bagi memastikan ia dapat direalisasikan demi kesejahteraan masyarakat di sini,” katanya.
-RI





