
Laporan/ foto : Rick Anderson Rini (Sarawak)
GEDONG, 28 Sep (MalaysiaAktif) – Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri Negeri Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Gedong telah menganjurkan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI: Komuniti Daerah Gedong bertempat di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong di sini semalam.

Program ini berjaya menghimpunkan lebih 200 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat setempat dengan matlamat memperkukuh pemahaman rakyat terhadap konsep Malaysia MADANI sebagai teras pembangunan negara.
Majlis perasmian seminar disempurnakan Pegawai Daerah Gedong Tamida Da’adi, yang dalam ucapannya berkata Malaysia MADANI bukan sekadar slogan, sebaliknya satu kerangka pembangunan menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.
“Seminar ini memberi peluang kepada kita untuk memahami lebih mendalam tentang tanggungjawab sebagai rakyat dan nilai MADANI itu juga mengajak kita mengamalkan budaya hormat, ihsan dan keyakinan, selain memupuk semangat cintakan negara dan menghargai keamanan yang kita kecapi hari ini,” katanya.
Beliau turut menyeru agar komuniti Gedong terus mendukung agenda kerajaan bagi memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat sentiasa terpelihara.
Sementara itu, Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri Negeri Sarawak Mohamad Faizal Lamat, ketika ditemu bual berkata seminar ini merupakan platform terbaik memperkukuhkan kefahaman kenegaraan di peringkat akar umbi.
“Usaha sebegini penting bagi menyemai semangat patriotisme, membina jati diri bangsa dan memastikan aspirasi Malaysia MADANI dapat direalisasikan hingga ke peringkat komuniti,” jelas beliau.

Kaunter eKasih Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dibuka untuk memudahkan orang ramai berurusan secara langsung.
Selain pengisian seminar melalui ceramah dan sesi interaktif, pelbagai aktiviti sampingan turut dianjurkan antaranya Jualan Rahmah, pembukaan kaunter Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan kaunter eKasih yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat kerana memberi kemudahan secara langsung.
Beberapa pengunjung Jualan RAHMAH juga berpendapat jualan ini amat membantu penduduk luar bandar kerana tawaran harga yang lebih murah berbanding pasaran dan diharapkan diteruskan dari semasa ke semasa.
Penganjuran seminar tersebut jelas membuktikan sokongan padu masyarakat Sarawak terhadap agenda nasional yang menekankan perpaduan, kesejahteraan dan pembangunan inklusif yang membabitkan penglibatan aktif komuniti setempat melalui konsep Malaysia MADANI.
-RJ-





