
Laporan/ foto: Sumardi Sugiman/ Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 28 Sep (MalaysiaAktif) – Seramai 400 orang peserta terdiri daripada penduduk Kampung Kopit, ahli-ahli Majlis Daerah Bau, ketua masyarakat ketua kaum daerah Bau dan jabatan-jabatan kerajaan di sini menjayakan Program Gotong-Royong Hari Cuci Malaysia Peringkat Daerah Bau di sini, kelmarin.

Miro bersama peserta program dari Kampung Kopit.
Program itu juga bersempena World Clean Up Day 2025 yang berlangsung di Balairaya Kampung Kopit dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh yang merasmikan program anjuran Majlis Daerah Bau tersebut dan dihadiri Pegawai Daerah Bau merangkap Pengerusi Majlis Daerah Bau Eddy Nayoi.
“Program yang diadakan serentak di seluruh negara bersempena World Clean Up Day 2025 ini penting bukan sahaja memperkukuh semangat kesukarelawan dan kebersamaan malahan mampu menyuburkan semangat gotong-royong dalam komuniti menekankan kepada penjagaan kebersihan daerah ini agar lebih bersih, indah, lestari alam sekitar dan aspirasi global dalam menangani pencemaran sisa.

Pelbagai pengisian menarik termasuk mengumpul minyak masak terpakai.
“Aktiviti ini juga dilihat berjaya memperkukuhkan semangat perpaduan kampung dan antara pengisian menarik menjadi tumpuan peserta merangkumi kutipan barangan kitar semula dan sisa serta pengumpulan minyak terpakai di mana juga minyak masak terpakai akan dijana semula menjadi tenaga boleh diperbaharui seperti biodiesel,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Setiausaha Majlis Daerah Bau Ong Chin Ping turut hadir sama memeriahkan program tersebut yang bertujuan mendidik komuniti agar sentiasa menjaga kebersihan persekitaran kampung mereka supaya sentiasa dalam keadaan bersih, ceria dan selamat.
-RJ-





