
Laporan/ foto : Ainie Elah (Sarawak)
SARIKEI, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) mendapat sambutan positif daripada masyarakat sekitar Sarikei yang lega dengan inisiatif ini kerana ia mampu meringankan beban rakyat berpendapatan rendah khusudnya golongan penerima Bantuan Tunai Rahmah (STR).
Beberapa pengguna ditemui petang semalam antaranya Khadijah Abdullah meluahkan rasa lega dan menyambut baik dengan pengurangan harga petrol tersebut.
“Minyak yang lebih murah kali ini memang satu kelegaan terutama bagi kami yang bergantung kepada kenderaan untuk urusan harian,” katanya.

Maryline berharap pelaksanaan subsidi bersasar ini dapat diteruskan untuk golongan yang benar-benar layak.
Bagi pekerja Shell Jalan Repok iaitu Maryline Douglas Miko, pelaksanaan subsidi bersasar ini dapat memastikan bantuan benar-benar sampai kepada pihak yang layak.
“Ini satu pendekatan yang baik kerana dapat mengelakkan ketirisan subsidi dan kita juga tahu BUDI95 bertujuan memastikan rakyat tempatan khususnya warganegara benar-benar menikmati hak rakyat iaitu harga petrol yang lebih rendah,” ujarnya.
Penuntut Universiti Malaya Nur Khairunnisa Khalek pula berpendapat pengurangan harga petrol memberikan kesan yang baik secara langsung kepada perbelanjaan seharian.
“Minyak digunakan setiap hari, jadi penurunan harga ini sangat membantu terutama pelajar yang tinggal di luar kolej dan harapan saya untuk masa hadapan biarlah program ini diteruskan kerana memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Penyelia Petronas Jalan Rentap Calvin Chok ketika ditemui juga berkata walaupun penurunan harga petrol RON95 melalui program subsidi hanya daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, ia bagaimanapun tetap memberikan manfaat besar kepada pengguna kenderaan.

Calvin Chok menerangkan cara mudah pembelian minyak subsidi RON95 di Petronas Jalan Rentap.
“Mungkin ramai yang masih kurang faham akan penggunaan MyKad ketika hendak membeli minyak namun lama-kelamaan pengguna akan dapat membiasakan diri dengan cara baharu tersebut.
“Cara pembelian minyak subsidi RON95 atau BUDI95 sangat mudah dan cepat malah pihak Petronas juga mencadangkan pengguna yang membeli minyak di stesen Petronas menggunakan aplikasi Setel untuk memudahkan pembelian,” jelasnya.
Program BUDI95 akan dilaksanakan secara menyeluruh bermula 30 September ini dengan manfaat subsidi sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan kepada setiap warganegara Malaysia yang layak, memiliki lesen memandu sah dan aktif.
-RJ-





