Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

KP JAPEN Pulang Ke Sekolah Lama, Sempurnakan Projek Kampung Angkat MADANI

By 29 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi/JAPEN

BATU PAHAT, 29 Sep (MalaysiaAktif) – ‘Bagai sirih pulang ke gagang’, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Julina Johan kembali menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Medan, di sini, tempat yang pernah membentuk sebahagian perjalanan awal hidupnya.

Bukan sebagai pelajar, kali ini, beliau melangkah ke sekolah yang berjarak kira-kira 17 kilometer dari bandar Batu Pahat itu sebagai seorang pemimpin tertinggi sebuah jabatan kerajaan, yang tentunya memberi makna besar buat seluruh warga sekolah.

KP JAPEN Julina Johan kembali ke sekolah lamanya SMK Seri Medan untuk menyempurnakan penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) di sekolah berkenaan.

Kunjungan Julina adalah bagi menyempurnakan penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) di sekolah berkenaan menerusi pembangunan dua projek fizikal berimpak tinggi iaitu penaiktarafan dan pengubahsuaian bilik darjah kepada makmal komputer dan pemasangan heli fan.

Julina dalam ucapannya berkata program berkenaan juga turut melaksanakan pengisian berbentuk pembangunan intelektual dan kendiri melalui program PENTARAMA X KELAB MALAYSIAKU yang merupakan platform kreatif gabungan elemen hiburan, pendidikan dan patriotisme.

“Program KAM adalah inisiatif kerajaan Malaysia untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar. Ia juga bertujuan untuk memacu pembangunan sosioekonomi komuniti di kampung yang dipilih melalui projek fizikal dan pembangunan infrastruktur asas.

“Inisiatif ini merupakan manifestasi sebenar amalan serve back to community iaitu satu pendekatan di mana setiap ketua jabatan turut memikul tanggungjawab secara kolektif untuk memastikan projek sampai terus kepada rakyat,” katanya.

Projek naik taraf makmal komputer bernilai lebih RM250,000 di SMK Seri Medan telah memberi keselesaan kepada warga sekolah dan ruang lebih kondusif untuk pembelajaran digital.

Julina berkata projek pemasangan heli fan bernilai RM44,000 dan projek naik taraf makmal komputer bernilai lebih RM250,000 di SMK Seri Medan telah memberi keselesaan kepada warga sekolah dan ruang lebih kondusif untuk pembelajaran digital.

Beliau berkata projek tambahan blok baharu di Masjid Pekan Sri Medan bernilai lebih RM500,000 juga sedang dilaksanakan untuk manfaat masyarakat setempat khususnya jemaah dan kariah masjid.

Projek pembangunan itu katanya dilaksanakan demi memberi manfaat kepada masyarakat Kampung Seri Medan kerana JAPEN sentiasa percaya bahawa keseimbangan pembangunan merupakan asas kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

“Dengan kata lain, setiap projek KAM bukan sahaja sekadar membina kemudahan, tetapi membina masa depan yang gemilang.

“Dan inilah juga masa depan yang saya dambakan untuk seluruh warga Kampung Seri Medan, tanah yang pernah menjadi tempat saya bertatih, berjalan dan berlari mengejar impian kehidupan,” katanya.

Beliau justeru mengajak seluruh masyarakat Kampung Seri Medan terutama para pelajar untuk memanfaatkan peluang yang tersedia di samping menggalas tanggungjawab menjaga projek pembangunan yang dilaksanakan agar ia dapat dinikmati secara berterusan sehingga ke generasi akan datang.

-FN

Tinggalkan komen anda