Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Pertandingan Amal Futsal JIWA Komuniti MADANI Kumpul Sumbangan untuk OKU

By 29 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Aidil Md. Lazim (Kulai)

KULAI, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Permai membabitkan seramai 71 anak-anak istimewa di daerah Kulai dipromosikan menerusi Pertandingan Amal Futsal, di Gelanggang Futsal Jalan Siantan, di sini semalam.

Kumpulan Kyzen Conquer menjuarai Pertandingan Amal pada tahun ini.

Pengerusi Kelab Sukan Kecergasan J.Robik Dataran Cahaya Kulai merangkap Timbalan Pengerusi Program Pemulihan Dalam Komuniti Fariza Amin berkata program itu juga bertujuan mengumpul dana sumbangan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Program berkonsepkan amal itu turut menjadi landasan untuk masyarakat menyalurkan sumbangan kepada golongan OKU.

“Sehubungan itu, melalui penglibatan aktiviti futsal ini, kemahiran dapat diaplikasikan serta yuran pendaftaran yang dikenakan adalah bertujuan untuk mengumpul dana yang akan disalurkan kepada OKU,” katanya, di sini semalam.

Pertandingan itu diadakan menerusi Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Kulai serta Kelab Sukan Kecergasan J.Robik Dataran Cahaya Kulai.

Beliau turut menegaskan komitmen berterusan PDK Permai dalam mengetengahkan potensi golongan istimewa melalui penglibatan masyarakat.

Penduduk sekitar turut hadir menyaksikan perlawanan futsal.

“Kami mahu masyarakat melihat sekiranya anak-anak istimewa ini juga mampu menyerlahkan bakat serta berdaya saing jika diberi peluang dan sokongan masyarakat amat penting bagi memastikan kesinambungan program seperti ini,” ujarnya.

Pertandingan itu telah memasuki tahun keempat penganjurannya dan merupakan satu-satunya daerah yang mengetengahkan bakat pemain futsal wanita.

Tahun ini, sebanyak 11 pasukan telah mengambil bahagian sekali gus menyerlahkan komitmen serta sokongan masyarakat setempat dalam menjayakan program berbentuk kebajikan dan kecergasan tersebut.

-RI

Tinggalkan komen anda