Skip to main content
JohorBerita Selatan

Aktiviti MOJO Serikan Program KAM Anjuran JAPEN

By 29 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Komala Soundara Rajan/Jabatan Penerangan

BATU PAHAT, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Aktiviti Mobile Journalism (MOJO) menambah seri Program Kampung Angkat MADANI (KAM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Medan, di sini hari ini.

Aktiviti tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kemahiran asas kewartawanan mudah alih termasuk penulisan berita, teknik rakaman dan penyuntingan menggunakan peranti mudah alih.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan bersama guru dan pelajar yang hadir pada Program Kampung Angkat MADANI (KAM).

Aktiviti  yang disertai 30 pelajar secara sukarela, dikendalikan oleh penceramah jemputan dari Bahagian Media Siber JAPEN Abu Huzaifah Abd Ghani, yang berkongsi pengalaman serta kepakarannya dengan para peserta.

Guru penyelaras aktiviti MOJO, Izzayu Kadis berkata pendedahan itu mendorong pelajar memanfaatkan aplikasi mudah alih secara lebih berfaedah selain memperoleh pengetahuan menghasilkan video dengan kaedah yang betul.

“Murid-murid sangat teruja apabila berjaya menghasilkan video sendiri dengan bimbingan tenaga pengajar,” katanya.

Julina meninjau fasiliti makmal komputer hasil penaiktarafan bilik darjah sambil beramah mesra bersama pelajar yang berada di makmal berkenaan.

Menerusi program KAM, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Julina Johan telah  menyempurnakan penyerahan projek penaiktarafan bilik darjah kepada makmal komputer, pemasangan kipas serta projek pembinaan blok tambahan di Masjid Pekan Sri Medan yang kini dalam fasa awal kerja tapak.

Usaha itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam mempertingkat kesejahteraan komuniti setempat.

Selain itu, program turut diserikan dengan PENTARAMA X KELAB MALAYSIAKU (Edisi Khas) yang menampilkan pelbagai pengisian seperti Mini Karnival Pendidikan, Mini Skillbox, Road to Varsity, BAKTI@Komuniti MADANI serta Kenduri Rakyat MADANI.

Secara keseluruhannya, program berkenaan berjaya menarik penyertaan kira-kira 1,500 orang yang terdiri daripada pelajar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti MADANI Batu Pahat serta agensi-agensi kerajaan.

-RI

Tinggalkan komen anda