
Laporan/foto: Ali Imran
KEMAMAN, 30 Sep (MalaysiaAktif) – Harapan ribuan keluarga berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri semakin hampir direalisasikan apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM504 juta bagi membina 5,450 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara pada tahun ini.

Penerima kunci unit RMR bergambar di hadapan rumah yang telah siap dalam program perumahan rakyat di bawah seliaan KPKT.
Projek mega itu akan dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan seliaan penuh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu sehingga Ogos lalu sebanyak 2,766 unit rumah telah siap sepenuhnya, manakala 1,310 unit lagi sedang dalam pembinaan.
Selebihnya iaitu 1,374 unit pula katanya kini dalam fasa akhir persediaan sebelum diserahkan kepada kontraktor untuk pembinaan.
“Sejak SPNB diselia terus oleh KPKT pada tahun 2018, pelaksanaan program RMR semakin cekap dan bersepadu. Sehingga kini, lebih 73,167 unit rumah berjaya disiapkan di seluruh negara,” katanya pada majlis penyerahan kunci kepada 11 pemilik rumah di RMR Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Baru Kiri, Kemasik, semalam.

Dr. Mohd Azmi (kiri) dan Aiman Athirah (tengah) hadir di program penyerahan kunci kepada 11 pemilik rumah di RMR Rancangan Tanah Berkelompok (RTB).
Setiap unit rumah RMR bernilai RM75,000 lengkap dengan tiga bilik tidur, sesuai untuk keperluan keluarga kecil.
Lebih melegakan, kerajaan turut menanggung subsidi RM20,000 bagi setiap rumah dengan pemilik hanya perlu membayar ansuran sekitar RM300 sebulan selama 16 tahun, menjadikan kediaman itu benar-benar mesra rakyat.
Pengerusi SPNB Datuk Prof. Dr. Mohd Azmi Mohd Lila menegaskan bahawa RMR adalah produk unggul SPNB yang direka khas untuk membantu golongan berpendapatan rendah.
“Penempatan SPNB di bawah KPKT adalah langkah strategik untuk memastikan setiap projek perumahan lebih telus, cepat dan menepati kehendak rakyat,” ujarnya.
-RI






