Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Rakyat Sambut Baik Program Subsidi Petrol BUDI95

By 30 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurfaizah Adnan/Muhammad Azrul Hafiz

KUALA LUMPUR, 30 Sep (MalaysiaAktif) – Program subsidi petrol bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang boleh ditebus mulai 27 September lalu mendapat sambutan yang sangat positif daripada pelbagai lapisan warganegara Malaysia.

Inisiatif yang yang merupakan sebahagian daripada strategi ekonomi kerajaan untuk memastikan subsidi hanya sampai kepada golongan yang layak, dilihat sebagai langkah proaktif dalam membantu meringankan beban kewangan harian.

Akbal Singh ketika di temu bual Malaysia Aktif.

Dalam satu tinjauan yang dilakukan di beberapa stesen minyak sekitar ibu negara, para penerima manfaat program itu menzahirkan ucapan terima kasih dan bersetuju bahawa program berkenaan memberikan impak kepada perbelanjaan penggunaan petrol kenderaan mereka.

Seorang penunggang motosikal, Akbal Singh, 63, seorang pesara, menyambut baik inisiatif ini.

“Memang bagus. Kerajaan membantu rakyat. Kalau bagi satu tahun lagi, kita lihat prestasi dia. Tapi setakat ini, ia bagus. Maklum balas hanya akan datang selepas tiga atau empat tahun. Kemudian, tahun kelima kita boleh lihat maklum balas apa yang kerajaan telah lakukan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan dan bantuan yang diberikan kepada rakyat.

Program BUDI95 ini menawarkan diskaun sehingga 61 sen seliter untuk petrol RON95 kepada pengguna yang layak.

Walaupun diskaun tersebut kelihatan kecil, ia memberikan kesan yang ketara kepada mereka yang kerap menggunakan kenderaan.

Sarala Dewi, menyifatkan BUDI95 memang berbaloi.

Sarala Dewi, 42, seorang pekerja swasta yang juga pemandu separuh e-hailing, menyifatkan subsidi ini sebagai berbaloi.

“Sebab saya pun grab driver juga part-time. Saya isi minyak memang subsidi ini memang berbaloi,” jelasnya.

Beliau yang datang dari Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan di ibu negara turut berpuas hati kerana dapat memanfaatkan subsidi tersebut untuk perjalanannya yang jauh.

Seorang lagi penerima Muhammad Nurudin Azmi, 36, seorang penunggang motosikal turut berkongsi pengalamannya.

“Saya baru lepas isi, dan di sini memang nampaklah perbezaan dengan sebelum-sebelum ini dan saya di sini mengucapkan ribuan terima kasih kepada PMX (Perdana Menteri),” ujarnya.

Penerima manfaat juga menyatakan kemudahan menggunakan kad pengenalan (MyKad) di pam minyak untuk menyemak kelayakan dan menikmati diskaun, menjadikan proses tuntutan subsidi lebih lancar.

Sistem yang memudahkan ini memastikan proses pengisian minyak adalah ringkas dan pantas.

Secara keseluruhannya, program BUDI95 membuktikan komitmen kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan subsidi secara berhati-hati, yang bukan sahaja bertujuan untuk penjimatan fiskal negara tetapi juga memastikan kebajikan rakyat yang memerlukan terus terpelihara.

-RI

Tinggalkan komen anda