
Laporan/ foto : Mohd Haffis Seria / JAPEN Matu (Sarawak)
MATU, 30 Sep (MalaysiaAktif) – Hari demi hari arus kemajuan teknologi dan pembangunan pesat telah menyebabkan keaslian rasa kuih-muih tradisional semakin sukar ditemui dan kini semakin ramai pengusaha juadah tersebut bergantung kepada kaedah moden namun sering mengorbankan rasa asli kuih yang diwarisi turun-temurun.

Bermacam jenis kuih-muih yang dijual menarik perhatian setiap yang berkunjung ke gerai Rashidah.
Namun begitu, terdapat sebuah gerai kecil di Kampung Tian, Matu yang masih setia mengekalkan cara pembuatan tradisional bagi memastikan rasa asli kuih-muih kekal utuh dan memikat.
Gerai Kuih Kampung Tian yang dimiliki Rasidah Ahmad, 45 yang terletak di pinggir jalan berhadapan Klinik Kesihatan Kampung Tian beroperasi seawal jam 5.30 pagi sehingga selepas tengah hari, setiap dua minggu sebulan menjadi tumpuan penduduk tempatan sejak bertahun lamanya.
Apa yang membezakan gerai ini daripada yang lain adalah komitmen Rasidah mengekalkan keaslian rasa kuih tradisional menggunakan kaedah lama seperti memarut kelapa secara manual dan memerah santan menggunakan tangan, tidak bergantung kepada mesin.

Kuih Dangai atau Rangin yang dibakar menggunakan dapur arang kayu.
Kuih seperti Dangai atau dikenali juga sebagai Rangin dibakar menggunakan dapur arang kayu, menghasilkan aroma kelapa yang sungguh menyelerakan dan membangkitkan nostalgia zaman dahulu.
“Gerai saya juga menawarkan pelbagai jenis makanan, merangkumi juadah ringan, kuih moden termasuk juga kuih tradisional dan antara yang menjadi pilihan pelanggan ialah Vietnam Roll, Dorayaki, Pau Inti Kelapa, Mi Kolok, Nasi Dagang dan Nasi Ayam Butter.
“Namun, kebiasaannya yang paling cepat habis dijual sebelum jam 9 pagi ialah kuih tradisional seperti Kosui atau Lompang, Seri Muka, Talam Ketupo, Tapai, Kapit, Nona Manis dan Basong,” kata Rasidah ketika ditemui pagi tadi di gerainya.
Tinjauan turut mendapati harga kuih di sini amat berpatutan, bermula serendah RM1 sebungkus, sekali gus menjadikannya mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat. Tidak hairanlah gerai ini terus mendapat tempat di hati pelanggan.
Menariknya, meskipun Rasidah masih mengekalkan kaedah tradisional dalam pembuatan kuih, beliau tidak menolak penggunaan teknologi digital dalam urusan perniagaan.
“Pembayaran di gerai saya boleh dibuat melalui sistem kod QR kerana ia memudahkan pelanggan yang tidak membawa wang tunai. Seiring dengan perkembangan ekonomi digital, ini membuktikan tradisi dan teknologi boleh bergerak seiring,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pelanggan tetap yang hanya mahu dikenali sebagai Zaleha, 48, berkata beliau sanggup datang seawal pagi semata-mata untuk mendapatkan kuih kegemarannya.

Kuih Basong yang dijual di Gerai Kuih Kampung Tian, Matu.
“Rasa kuih di sini memang berbeza kerana sebaik sahaja dimakan, terus mengingatkan saya pada zaman kecil dahulu, malah sukar untuk mencari kuih seperti ini di bandar,” katanya.
Gerai Kuih Kampung Tian bukan sahaja menawarkan juadah enak, malah menjadi penjaga warisan kulinari tradisional. Usaha gigih Rasidah mengekalkan kaedah pembuatan secara tradisional wajar dipuji dan dijadikan contoh, khususnya dalam memastikan generasi muda tidak melupakan khazanah makanan tradisional yang kaya dengan rasa serta nilai budaya.
Gerai kecil ini membuktikan bahawa dalam arus dunia moden, masih ada ruang untuk mengekalkan tradisi kerana ia bukan sahaja menjual kuih-muih, tetapi turut menyajikan rasa kenangan, kasih sayang dan warisan budaya kepada setiap pelanggan yang singgah.
-RJ-





