Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Pemantauan di Stesen Minyak Elak Kenderaan Asing Isi RON95

By 1 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook KPDN Johor (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 1 Okt (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor akan meningkatkan kawalan di semua stesen minyak di Johor khususnya di Johor Bahru bagi mengelakkan kenderaan asing mengisi RON95 susulan pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Jurupam stesen minyak memberikan penerangan berkenaan kaedah penggunaan BUDI MADANI RON95 yang telah bermula semalam.

Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata rondaan penguatkuasa KPDN akan dijalankan di setiap stesen minyak secara berterusan untuk memastikan RON95 hanya digunakan oleh warganegara sahaja, bukan kepada kenderaan asing.

“Pengusaha stesen minyak perlu sentiasa peka dan bertanggungjawab dalam memastikan hanya rakyat tempatan sahaja mengisi petrol RON95 dan RON97 hanya kepada kenderaan asing. Sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan oleh kenderaan asing mengisi minyak petrol RON95, tindakan tegas akan diambil dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau operasi sebuah stesen minyak di Jalan Yahya Awal, di sini sempena pelaksanaan BUDI95, semalam.

Lilis Saslinda berkata kerajaan juga menyediakan saluran aduan khas bagi orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan sebarang penyelewengan subsidi bahan api.

Lilis Saslinda, berkata pengguna masih boleh membuat pengisian menerusi kaedah manual di kaunter stesen minyak sebelum pengesahan lanjut dibuat oleh pihak stesen minyak.

“Rakyat di negara jiran seperti Singapura sudah mengetahui bahawa mereka tidak layak untuk mengisi minyak petrol RON95 di negara ini dan diharap mereka tidak ambil kesempatan,” katanya.

Tambahnya, KPDN Johor akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan bermula hari ini hingga 7 Oktober bagi memberikan penerangan dan membantu pengusaha teksi, kereta sewa dan pengangkutan barangan yang masih belum mendaftar sistem MySubsidi Petrol Kenderaan Pengangkutan Darat (SKPS) untuk menikmati subsidi RON95.

-RI

Tinggalkan komen anda