Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pesilat Tok Janggut Rantau Panjang Raih Emas di UISC 2025

By 1 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)

KLANG, 1 Okt (MalaysiaAktif) – Bermula hanya sebagai gelanggang kecil di Kampung Rantau Panjang, siapa sangka anak-anak Silat Seni Gayong Malaysia, Gelanggang Tok Janggut kini berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Aksi Ariq Zaquan (kanan) di Kejohanan United International Silat Championship 2025 (UISC 2025) yang berlangsung di Kompleks Sukan MSN Setiawangsa, Kuala Lumpur 12 hingga 16 September yang lalu.

Pasukan silat tersebut berjaya membawa pulang empat pingat termasuk satu emas, satu perak dan dua gangsa pada Kejohanan United International Silat Championship 2025 (UISC 2025) yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 12 hingga 16 September lalu.

Bagi jurulatihnya, Iznan Shahme Ab Kadir, 45, kejayaan itu cukup membanggakan kerana ia membuktikan semangat dan disiplin anak kampung juga mampu berdiri sama tinggi dengan pesilat dari negara lain.

“Kami pasukan kampung, tidak sangka mampu bersaing dengan peserta hebat dari Indonesia, Brunei, Singapura dan Australia.

“Tahun lalu, kami hanya membawa pulang gangsa. Alhamdulillah, tahun ini lebih berganda pencapaiannya,” katanya penuh syukur kepada Malaysia Aktif, kelmarin.

Antara wira kejohanan itu ialah Ariq Zaquan Muhd Izham Farid, 15, yang berjaya menggenggam pingat emas, Kelas G selepas enam tahun mengasah bakat dalam seni silat.

Kenangan manis buat Ariq Zaquan (tiga dari kanan) bersama jurulatihnya Iznan Shahme (dua dari kanan) yang berjaya mendapat pingat emas pingat emas, Kelas G di Kejohanan United International Silat Championship 2025 (UISC 2025) yang berlangsung di Kompleks Sukan MSN Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Saya tak sangka boleh menang emas tahun ini, pesaing semuanya hebat-hebat. Alhamdulilah, rezeki saya tahun ini dan saya harap satu hari nanti dapat wakili Malaysia di kejohanan luar negara.

“Pingat ini hadiah untuk keluarga dan gelanggang saya,” ujar Ariq yang kini berada di tahap bengkung Awan Putih.

Gelanggang Tok Janggut yang beroperasi sejak 2022 kini memiliki lebih 160 murid berusia antara 10 hingga 15 tahun.

Kejayaan mereka menjadi bukti bahawa silat bukan sekadar seni pertahanan diri, tetapi juga wadah membina keyakinan, disiplin dan semangat juang generasi muda.

Majlis kesyukuran dan penyampaian sijil serta pingat kepada para peserta diadakan di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, kelmarin.

Kejohanan UISC 2025 anjuran USTA Club dan Arena 57K Academy bermatlamat melahirkan atlet silat berpotensi serta memperkukuh jati diri generasi muda melalui warisan budaya bangsa.

-RI

Tinggalkan komen anda