
Laporan/foto : Mohd Zahid Othman/Bomba Johor (Johor)
PASIR GUDANG, 1 Okt (MalaysiaAktif) – Tiga individu cedera akibat terlibat dalam kebakaran sebuah kilang di Jalan Rumbia 2, Kampung Tanjung Langsat, di sini, awal pagi tadi.
Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad yang bertindak sebagai Komander Operasi Kanan berkata kesemua mangsa telah dihantar bagi menerima rawatan di hospital berhampiran.
“Bagaimanapun, maklumat lanjut mangsa masih belum diperolehi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.53 pagi sebelum menggerakkan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dibantu BBP Johor Jaya.
Turut digegaskan ke lokasi sejauh 13 kilometer daripada BBP Pasir Gudang adalah dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Kebakaran membabitkan sebuah mesin tapak resin dalam bangunan kilang berkeluasan 200 x 400 x 40 kaki. Api berjaya dikawal pada jam 6.27 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya enam minit kemudian.
“Kilang tersebut dianggarkan musnah 20 peratus dengan punca kemalangan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
-FN





