
Laporan/foto: Ahmad Shazni Shaari/Wan Muhammad Afiq Wan Mokhtar
KUALA LUMPUR, 1 Okt (MalaysiaAktif) – Projek Penggantian Paip Pakej 1, 2 dan 3 bagi menangani isu paip pecah serta kebocoran yang sering berlaku di Taman Bukit Maluri antara langkah telah diambil Pejabat Ahli Parlimen Segambut.

Sidang media Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh bersama pengurusan tertinggi Air Selangor.
Ahli Parlimen, Hanah Yeoh berkata pihaknya akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan khususnya dalam aspek bekalan air bersih.
“Masalah paip bocor dan pecah bukan sahaja menyebabkan gangguan bekalan air, tetapi turut menjejaskan kehidupan harian penduduk. Saya berharap dengan pelaksanaan projek penggantian paip ini, penduduk Taman Bukit Maluri akan menikmati bekalan air yang lebih konsisten dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media Projek Penggantian Paip Air di Taman Bukit Maluri, di sini semalam.

Hannah Yeoh ketika melawat tapak projek bersama pengurusan tertinggi Air Selangor.
Projek berkenaan katanya amat penting untuk kesejahteraan penduduk keranan pejabatnya telah menerima pelbagai aduan daripada komuniti berkaitan kejadian paip pecah dan bocor sehingga menyebabkan gangguan bekalan.
Menurut rekod, insiden paip bocor dan pecah di Taman Bukit Maluri menunjukkan trend yang konsisten sejak tiga tahun lalu.
Pada tahun 2023, sebanyak 121 kes direkodkan, diikuti 112 kes pada 2024, manakala bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun sahaja, sebanyak 131 kes telah dilaporkan dengan 364 kes telah dicatatkan secara keseluruhannya.
Projek penggantian paip berkenaan dijangka memberi manfaat secara langsung kepada lebih 3,096 akaun pengguna di kawasan tersebut, sekaligus mengurangkan risiko gangguan air pada masa akan datang.
-FN





