
Laporan/foto: Hanafi Sariman/Mohd Faizal
BUKIT BENDERA, 1 Okt (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang mula berkuat kuasa secara berperignkat pada 27 September lalu menjadi bukti nyata keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.
Seorang pengguna Vishnu Balakrishna, 57, juga menyifatkan mekanisme pelaksanaan inisiatif itu sebagai suatu proses yang mudah dan mesra pengguna.

Vishnu Balakrishna (kanan) berpendapat kaedah penggunaan BUDI95 di stesyen minyak sangat cepat dan mudah.
“Tiada pendaftaran rumit diperlukan hanya guna MyKad di pam minyak atau kaunter, ini bukti kerajaan begitu prihatin bagi memudahkan rakyat menikmati subsidi tanpa beban tambahan,” katanya kepada wartawan Malaysia Aktif, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Noraini Bee Hassan, 42, berkata rakyat seharusnya bersyukur kerana harga petrol di Malaysia antara yang terendah di rantau Asia.
“Saya dengar ada yang merungut harga minyak turun sedikit sahaja, tapi kalau banding dengan negara jiran harga minyak kita jauh lebih murah. Patutlah kita bersyukur sebab kerajaan jaga kebajikan rakyat,” katanya.
Lebih 16 juta warganegara Malaysia kini menikmati manfaat langsung apabila mereka yang berusia 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif layak membeli petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran RM2.60 seliter, dengan kuota sehingga 300 liter sebulan.
Inisiatif itu bukan sahaja membantu rakyat menjimatkan perbelanjaan harian, malah memastikan subsidi disalurkan secara telus kepada golongan yang layak, sekali gus menutup ruang ketirisan yang sebelum ini membolehkan bukan warganegara turut menikmati kemudahan tersebut.
Program subsidi bersasar BUDI95 turut mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengimbangi antara kesejahteraan rakyat dan pengurusan kewangan negara yang mampan agar manfaatnya dapat dirasai secara berterusan oleh seluruh lapisan masyarakat.
-FN





