Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

CEPA Perkukuh Kesiapsiagaan Komuniti Kedah Hadapi Banjir

By 1 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Facebook Warta Kedah

ALOR SETAR, 1 Okt (MalaysiaAktif) – Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) mampu meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat Kedah dalam menghadapi risiko banjir, khususnya di kawasan Lembangan Sungai Kedah dan Sungai Muda.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa berkata usaha itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri membentuk masyarakat yang berdaya tahan terhadap cabaran perubahan iklim.

“Hasrat kita adalah agar CEPA ini diperluas ke semua daerah berisiko banjir supaya setiap lapisan masyarakat memahami sistem amaran, bersedia dan tahu cara bertindak ketika bencana berlaku,” katanya ketika merasmikan Bengkel Penyelarasan CEPA di sebuah hotel, di sini hari ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa ketika berucap pada Bengkel Penyelarasan CEPA.

Beliau berkata sistem ramalan dan amaran banjir boleh disampaikan melalui pelbagai medium termasuk siren, sistem pesanan ringkas (SMS), aplikasi mudah alih dan media sosial, bagaimanapun keberkesanannya hanya tercapai jika penduduk benar-benar memahami maksud amaran yang dikeluarkan.

Katanya lagi keberhasilan CEPA juga bergantung kepada kerjasama erat pelbagai pihak termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), agensi keselamatan, badan bukan kerajaan (NGO), dunia akademik, Majlis Ketua Komuniti (MKK) serta komuniti setempat.

“Komitmen kolektif inilah yang akan memastikan mesej kesedaran meresap ke akar umbi, memberi kesan berkekalan serta melindungi nyawa dan kesejahteraan rakyat Kedah,” katanya.

Program CEPA dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi bencana, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

-FN

Tinggalkan komen anda