
Laporan/foto: Firdaus Zaki (Bentong)
BENTONG, 2 Okt (MalaysiaAktif) – Niat asalnya pulang ke kampung untuk kedua-dua ibu bapa, namun seorang bekas guru tadika berjaya menjana pendapatan sebagai pencipta kandungan masakan di media sosial.
Hidayu Husin, 37, tidak pernah menyangka keputusannya membawa ke satu cabang rezeki baharu.

Salah seorang pelanggan setia Muhammad Hafizuddin yang sering menggunakan khidmat berbayar Hidayu.
Bermula dengan hanya suka-suka merakam dan memuat naik video masakannya di platform TikTok, kandungan Hidayu mula mendapat perhatian sehingga meraih ratusan ribu tontonan.
“Saya pulang ke kampung pada asalnya untuk menjaga ibu dan bapa, jadi saya berhenti kerja sebagai guru tadika,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif.
Menurutnya, kejayaan video-video awalnya mendorong beliau untuk mempelajari teknik penghasilan kandungan yang lebih kreatif dan berkualiti.

Hidayu percaya usaha yang gigih akan membawa kepada kejayaan.
“Saya belajar tentang cara menghasilkan video yang kreatif dengan hanya berbekalkan sebuah kamera digital dan mikrofon, selepas itu saya muat naik kandungan masakan dan tidak sangka ia menjadi tular hingga mencapai ratusan ribu tontonan,” katanya.
Hidayu juga tidak menyangka kemudiannya beliau dihubungi oleh pengasas produk tempatan yang meminta beliau untuk membuat kandungan berbayar.
“Alhamdulillah, hasil dari kandungan video saya mampu menjana pendapatan dari platform media sosial ini, jadi kepada anak muda di luar sana jangan pernah putus asa dan teruskan berusaha untuk meraih kejayaan,” katanya.
-RI





