
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Facebook Amirudin Shari
SHAH ALAM, 2 Okt (MalaysiaAktif) – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan rejim Zionis Israel harus membebaskan segera 12 aktivis Malaysia yang ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla pagi tadi.
Misi itu membabitkan 500 aktivis dari 44 negara dengan tujuan menghantar bantuan makanan dan kesihatan kepada rakyat Palestin di Gaza yang kini berdepan serangan bertubi-tubi tanpa henti dari negara haram Israel.
Amirudin berkata penahanan itu bukan sahaja tindakan pengecut, malah jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia.
“Saya menyokong penuh usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua rakyat Malaysia yang ditahan termasuk aktivis dan petugas dibebaskan serta-merta dengan selamat.
“Tindakan rejim Zionis Israel ini melampaui batas kerana misi flotilla digerakkan dengan tujuan mulia untuk menghantar bantuan makanan dan kesihatan kepada rakyat Gaza yang sedang dizalimi tanpa henti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan masyarakat dunia kini perlu bersatu dan tidak lagi bertolak ansur dengan jenayah berterusan Israel terhadap rakyat Palestin.
“Ini adalah masa untuk semua negara bangkit menolak keganasan Israel dan memulakan sekatan antarabangsa yang komprehensif terhadap rejim pengganas itu,” tegasnya.
Amirudin dalam pada itu turut menyeru rakyat Malaysia terus menunjukkan solidariti bersama Palestin, selain mendoakan keselamatan semua aktivis yang kini ditahan.
-RI





