
Laporan/foto: Nurhayati Abdul Halim/ JAPEN MATU (Sarawak)
MATU, 3 Okt (MalaysiaAktif) – Sejajar dengan tema Hari Wanita Sarawak 2025, iaitu Kepelbagaian, Kesamaan, Ekuiti dan Inklusiviti, martabat wanita terus diangkat agar tiada yang terpinggir.
Penerapan nilai kepelbagaian, kesamaan, ekuiti dan inklusiviti pula bukan sahaja dapat membina masyarakat yang lebih adil, malah mampu menjadikan pembangunan negara lebih menyeluruh dan berdaya tahan.
Jika dahulunya kehidupan wanita yang tinggal di luar bandar atau pinggir bandar dilihat sebagai golongan yang sering kali kurang diberi perhatian dalam arus pembangunan negara, sebaliknya kini golongan wanita di kawasan itu semakin berpotensi menjadi pemacu utama kepada perubahan sekiranya diberikan ruang dan peluang.

Golongan wanita di daerah Matu menghasilkan kraftangan tradisional iaitu Seraong.
Di daerah Matu, Pusat Kraftangan Treng Matu merupakan inisiatif yang berjaya membuka peluang kepada wanita tempatan dengan memberikan latihan serta bimbingan dalam penghasilan kraftangan tradisional seperti anyaman seraong, bakul dan pelbagai hasil seni tempatan lain.
Tidak sekadar menghasilkan produk, mereka turut dibimbing dalam aspek pemasaran dan keusahawanan bagi membolehkan wanita tempatan menjana pendapatan sendiri serta tampil sebagai penyumbang aktif kepada pembangunan komuniti dan ekonomi setempat.
Ketua Masyarakat Kampung Treng, Matu merangkap Pengerusi Pusat Kraftangan Treng Matu Zurina Talaha berkata penubuhan pusat itu bukan sahaja bertujuan untuk memelihara warisan seni dan budaya masyarakat setempat, malah menjadi platform penting dalam memperkasakan wanita luar bandar.
“Melalui Pusat Kraftangan ini, ramai wanita di sini yang dahulunya suri rumah sepenuh masa kini mampu menjana pendapatan sendiri dan membantu keluarga. Mereka bukan sahaja mahir menghasilkan kraftangan tradisional seperti seraong dan bakul, malah kini lebih yakin dalam memasarkan produk mereka ke luar daerah, malah hingga ke platform digital.

Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Matu Harlina Mahiji (duduk dua dari kanan) bersama wakil wanita daerah Matu selepas Majlis Perasmian Hari Wanita Peringkat Negeri Sarawak.
“Saya percaya, apabila wanita diberi ruang, sokongan dan latihan yang sesuai, mereka mampu membawa perubahan besar bukan sahaja dalam keluarga termasuk masyarakat keseluruhannya,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, semalam.
Zurina juga menekankan bahawa kejayaan pusat berkenaan adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti sendiri yang berganding bahu menjayakan program pembangunan wanita.
Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Matu Harlina Mahiji berkata inisiatif seperti Pusat Kraftangan Treng Matu merupakan contoh terbaik bagi sesebuah pembangunan inklusif yang dapat dicapai apabila wanita diberi peluang yang saksama untuk berkembang.
“Pihak pentadbiran Pejabat Daerah Matu akan terus menyokong program sebegini melalui kerjasama semua pihak agar lebih ramai wanita di kawasan luar bandar dapat menikmati manfaat yang sama,” katanya.
-FN





