Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Bagan Datuk Dijangka Hadapi Fenomena Pasang Besar Minggu Depan

By 3 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli Bin Ras-Nazeruddin/JPS

BAGAN DATUK, 3 Okt (MalaysiaAktif) – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hilir Perak mengingatkan orang ramai berhubung fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku minggu hadapan iaitu antara 6 hingga 10 Oktober ini.

JPS dalam kenyataan dikeluarkan kelmarin memaklumkan keadaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya air pasang besar berlaku serentak dengan hujan lebat, tiupan angin kencang dan ombak besar.

“Fenomena ini diramal membawa paras air laut berketinggian antara 3.2 hingga 3.4 meter, sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat dan banjir genang, khususnya di kawasan rendah berhampiran sungai dan pesisir pantai.

“Antara kawasan berisiko tinggi termasuk Mukim Rungkup, Bagan Datuk, Teluk Bharu, Sungai Durian, Sungai Samak, Sungai Manila, Kampung Banang, Kampung Bagan Lalang, Kampung Tebing Rebak, Kampung Tanah Lalang serta Hutan Melintang,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bagan Datuk Kapten (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata Malaysia turut dijangka berdepan dengan fenomena La Niña pada hujung tahun ini sehingga awal tahun hadapan.

Beliau berkata fenomena La Niña dijangka menyebabkan hujan lebat berlaku dengan lebih kerap, dan sekiranya bertepatan dengan Monsun Timur Laut, risiko berlakunya banjir di beberapa kawasan adalah tinggi.

“Orang ramai diingatkan supaya peka dengan amaran cuaca, membuat persediaan awal, berpindah sekiranya diarahkan dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Gabungan fenomena pasang besar, La Niña dan monsun timur laut menuntut masyarakat agar sentiasa berwaspada serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga,” katanya ketika kepada MalaysiaAktif ketika meninjau paras air di Waterfront Bagan Datuk, di sini kelmarin.

-FN

Tinggalkan komen anda