
Laporan/foto: M Zakry Chan
MELAKA, 4 Okt (MalaysiaAktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong mencatat sejarah apabila dinobatkan juara keseluruhan Pertandingan TM Tech Titans Kebangsaan 2025, yang berlangsung di Multimedia University Cyberjaya pada 25 hingga 27 September lalu.
Pasukan inovasi sekolah yang dikenali sebagai KRUSS MAKERS itu tampil dengan projek Amphibious Boat iaitu sebuah bot inovatif mesra alam yang mampu bergerak di darat dan air bagi mengutip sisa pepejal di permukaan.

Pengetua SMK Krubong (kiri) bersama Yang Dipertua PIBG sentiasa memberi sokongan dan komitmen kepada kejayaan ini.
Keunikan idea dan keberkesanan impak projek itu melayakkan mereka membawa pulang Anugerah Platinum beserta hadiah wang tunai RM5,000.
Mentor robotik, Nathan Balakhrisnan berkata kejayaan itu adalah hasil usaha gigih dan komitmen tinggi para pelajar yang tidak mudah menyerah kalah.
“Murid-murid membuktikan bahawa dengan kerja berpasukan dan semangat yang kental, segala cabaran boleh diubah menjadi kejayaan,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, semalam.
Menurut pengetua sekolah Ruslinda Rasul kejayaan itu bukti bahawa pelajarnya mampu bersaing di peringkat kebangsaan.

Peserta-peserta yang menyertai pertandingan tersebut.
“Ia menjadi inspirasi bukan sahaja kepada sekolah, malah kepada seluruh komuniti pendidikan Melaka. Sokongan padu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadi bukti bahawa sekolah luar bandar juga mampu melakar nama di persada negara melalui inovasi dan teknologi,” katanya.
Menurutnya, dengan semangat ‘Cerdas, Ceria, Cemerlang’, SMK Krubong kini menjadi ikon pendidikan inovatif negeri, sekali gus menyemarakkan inspirasi kepada generasi muda untuk berani mencipta, berinovasi dan berjaya.
-RI





