
Laporan/ foto : Siti Rahimah Ajis (Sarawak)
JULAU, 5 Okt (MalaysiaAktif) – Majlis Penutupan Program Jom Fit, Jom Sihat Parlimen P.209 Julau telah berlangsung dengan jayanya di Gelanggang Bola Keranjang Julau di sini, semalam.
Program yang melibatkan pertandingan penurunan berat badan ini memulakan saringan pertamanya pada 5 Julai lalu dan telah disertai seramai 205 peserta dari seluruh Parlimen Julau turut mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat yang prihatin terhadap amalan gaya hidup sihat.

Sesi foto bersama peserta dan tetamu kehormat di Gelanggang Bola Keranjang Julau.
Ahli Parlimen Julau Datuk Larry Sng Wei Shien dalam ucapannya berkata ramai individu apabila meningkat usia cenderung mengabaikan aktiviti sukan sehingga berat badan menjadi tidak menentu.
“Penganjuran program seumpama ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, khususnya bagi mereka yang berusia 40 tahun ke atas. Program ini juga menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui kerjasama pelbagai agensi, selain memberi fokus kepada komuniti luar bandar terutamanya di Daerah Julau dan Pakan,” katanya.

Dr Ling turut memberikan ceramah mengenai masalah berat badan kepada para peserta Jom Fit, Jom Sihat di sini semalam.
Sementara itu, Tal Enseriban, 49, juara pertandingan penurunan berat badan, mendedahkan rahsianya untuk mengekalkan kesihatan adalah dengan berjoging sejauh 10 kilometer setiap hari selama satu jam setengah termasuk mengamalkan diet tanpa nasi, hanya mengambil buah-buahan, mengurangkan gula dan mengelakkan makanan berasaskan tepung.
“Biarpun menang tempat pertama, saya masih belum menepati sasaran sebenar walaupun dahulunya pernah tidak makan nasi selama enam tahun dan apa yang malan tanpa nasi ini akan diteruskan demi menjaga kesihatan,” ujarnya yang bersyukur kerana bebas daripada sebarang penyakit.
Tempat kedua dimenangi Sullang Kabot, 29, manakala tempat ketiga disandang Dato Banabas Tegong, 48, wakil Komuniti MADANI Sungai Lasi.
Program berkenaan yang turut disertai pelbagai agensi kerajaan di Parlimen Julau itu dilihat sebagai usaha semua pihak melibatkan kerajaan dan masyarakat menyemai budaya sihat dalam kalangan masyarakat luar bandar.
-RJ-





