Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Johor Kuasai SKUAD YPM Dengan Lebih 4,000 Ahli

By 6 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Aznan Tamin

JOHOR BAHRU, 6 Okt (MalaysiaAktif) — Negeri Johor muncul sebagai negeri dengan penyertaan tertinggi dalam SKUAD Yayasan Pelajaran MARA (YPM) apabila mencatatkan lebih 4,000 ahli daripada keseluruhan 20,300 ahli di seluruh negara.

Penyertaan lebih 4,000 ahli ini menggambarkan semangat juang dan keprihatinan anak muda Johor untuk menjadi ejen perubahan sosial dan kemajuan masyarakat – Aznan Tamin

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan negeri Aznan Tamin berkata penglibatan besar belia Johor dalam SKUAD YPM membuktikan kesungguhan anak muda negeri itu dalam mendukung semangat kesukarelawanan serta komitmen terhadap pembangunan komuniti dan pendidikan.

“Johor sentiasa menjadi antara negeri terkehadapan dalam menyokong program pembangunan belia. Penyertaan lebih 4,000 ahli ini menggambarkan semangat juang dan keprihatinan anak muda Johor untuk menjadi ejen perubahan sosial dan kemajuan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Majlis Pelancaran SKUAD YPM Peringkat Negeri Johor 2025 yang berlangsung di Stadium Tertutup Arena Larkin disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Aznan, usaha bersepadu antara kerajaan negeri dan agensi pusat seperti YPM amat penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat langsung kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi Maju Johor 2030.

SKUAD YPM merupakan inisiatif strategik Yayasan Pelajaran MARA dalam memperkasa belia sebagai agen perubahan sosial, pendidikan dan pembangunan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar

“Kerajaan negeri akan terus menyokong pelaksanaan program pembangunan pendidikan dan belia bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan berjiwa besar,” katanya.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan cek cura (mock cheque) bernilai RM1.8 juta daripada kerajaan negeri kepada YPM sebagai simbol komitmen berterusan dalam memperkukuh agenda pendidikan serta pembangunan modal insan di negeri ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi MARA Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

-AA-

Tinggalkan komen anda