Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Pupuk Kesedaran Keselamatan Atas Talian di Kalangan Remaja Perempuan

By 6 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam/Mohd Zahid Othman (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 6 Okt (MalaysiaAktif) – Program Jelajah PENTARAMA X Kelab Malaysiaku meneruskan siri jelajahnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Aminah, Batu Pahat, pagi tadi dengan penyertaan lebih 600 pelajar perempuan.

Program tersebut bertujuan memupuk semangat patriotisme dan meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan remaja.

Pengetua SMK Tun Aminah, Haliza Ismail merasakan penganjuran program ini amat bagus untuk pendedahan pelajar mengenai keselamatan atas talian, selain kebudayaan negara-negara ASEAN

Pengetua SMK Tun Aminah Haliza Ismail, berkata penganjuran program berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan mengenai keselamatan atas talian, malah turut memperkenalkan elemen kebudayaan ASEAN bersempena Malaysia selaku Pengerusi Persidangan ASEAN tahun ini.

“Program ini memberi banyak maklumat tentang kerajaan khususnya Kempen Kesedaran Keselamatan Atas Talian (KIS) serta pengetahuan berguna kepada pelajar mengenai keselamatan siber.

Pendekatan yang digunakan juga amat menarik dan berjaya menyemai semangat cintakan negara,” katanya.

Guru Kelab Malaysiaku SMK Tun Aminah Nik Norariana berkata, pendekatan program yang santai dan menyeronokkan menjadikan para pelajar lebih mudah memahami mesej yang disampaikan.

“Program ini banyak memberi ilmu baharu kepada pelajar berkaitan internet selamat. Persembahan nyanyian, permainan interaktif serta peragaan pakaian tradisional ASEAN berjaya menarik minat pelajar. Di harap program seperti ini dapat diteruskan kerana bukan sahaja pelajar terhibur, malah guru turut sama bersemangat,” ujarnya.

Elemen kejutan yang dibawakan pada kali ini merupakan peragaan pakaian tradisional negara-negara ASEAN oleh pelajar yang dipilih secara spontan

Seorang pelajar Lee Ja Yi, 15, turut berkongsi rasa teruja apabila berpeluang menyertai program berkenaan yang disifatkan sebagai pengalaman berharga.

“Program ini sangat bermakna kerana kami belajar tentang semangat patriotisme dengan cara yang menyeronokkan.

“Saya juga kini lebih berhati-hati ketika menggunakan internet, terutama ketika bermain permainan atas talian atau berinteraksi dengan individu tidak dikenali,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Johor Saiful Hisham Mansor, Penolong Pengarah MCMC Wilayah Selatan Muhammad Ezwan Harris Abu Nashrah, dan Pegawai Penerangan Daerah Batu Pahat Musliha Yusof.

-AA-

Tinggalkan komen anda