
Laporan/foto: U. Prakash (Timur Laut)
AYER ITAM, 6 Okt (MalaysiaAktif) — Mini Karnival Kesihatan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Melayu berjaya menarik penyertaan ramai penduduk setempat sekali gus menyemai kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti.

Pengunjung tidak melepaskan peluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma.
Program yang berlangsung di Dewan Pasukan Simpan Persekutuan, Padang Tembak semalam turut memberi peluang kepada orang ramai menjalani saringan kesihatan dan pemeriksaan gigi secara percuma.
Selain aktiviti kesihatan, penganjuran tersebut turut menjadi medan interaksi mesra antara agensi kerajaan dan masyarakat melalui pelbagai acara santai seperti pertandingan pakaian beragam, pertandingan mewarna serta sesi zumba yang menceriakan suasana.

Sesi penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan.
Pengerusi KRT Kampung Melayu Mohd Azlan AKH Jamiyathulla Khan, berkata penganjuran program seumpama itu mampu memperkukuh semangat kejiranan dan menyatukan komuniti melalui pendekatan yang menyeronokkan namun berimpak positif.
“Mini Karnival Kesihatan ini menjadi wadah membina komuniti yang sihat, prihatin dan saling menyokong antara satu sama lain. Apabila masyarakat sedar tentang pentingnya kesihatan diri, ia akan melahirkan komuniti yang lebih kuat dan harmoni,” katanya.
-AA-





