Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Galeri Rundingan Baling Simbol Perjuangan, Pusat Pameran Sejarah Kemerdekaan

By 7 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)

BALING, 6 Okt (MalaysiaAktif) – Galeri Rundingan Baling di Kedah terus menjadi simbol perjuangan negara apabila lokasi bersejarah yang pernah menjadi saksi Rundingan Baling pada 28 dan 29 Disember 1955 kini dijadikan pusat pameran khazanah perjuangan kemerdekaan, sekali gus memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Rundingan bersejarah itu mempertemukan wakil kerajaan Tanah Melayu yang diketuai Tunku Abdul Rahman bersama Datuk Sir Tan Cheng Lock dan David Marshall dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin, dalam usaha menamatkan pemberontakan bersenjata yang mengancam kestabilan negara.

Antara bahan sejarah yang dipamerkan.

Bagi memperingati detik penting tersebut, Galeri Rundingan Baling kini mempamerkan pelbagai bahan dan artifak sejarah berkaitan Baling sebelum kemerdekaan, termasuk peristiwa Darurat di Tanah Melayu, pendudukan Jepun, kezaliman komunis, pembanterasan PKM serta kepimpinan tempatan di Kedah.

Menurut Pembantu Muzium, Zamir Zamri ruang asal galeri berkenaan mempunyai nilai sejarah yang tinggi kerana pernah menjadi tempat rehat pemimpin PKM semasa rundingan berlangsung.

“Tempat bersejarah sebegini harus dipelihara untuk tatapan generasi akan datang. Ia bukan sekadar pameran, tetapi lambang keteguhan pemimpin terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya ketika ditemui semalam.

Antara pengunjung yang hadir.

Tambahnya, kerja-kerja konservasi bangunan galeri telah dijalankan Warisan Negara dan siap pada penghujung tahun 2021.

“Seterusnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meluluskan peruntukan sebanyak RM270,000 pada tahun 2022 bagi pembangunan galeri pameran tetap, yang dilaksanakan oleh Lembaga Muzium Negeri Kedah,” katanya.

Melalui Mesyuarat Tindakan Pelancongan Daerah Baling bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah pada tahun 2023, Lembaga Muzium Negeri Kedah turut dipersetujui sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap operasi harian galeri tersebut kerana kepakaran mereka dalam bidang pemuziuman dan pameran.

Galeri Rundingan Baling bukan sahaja mengekalkan warisan perjuangan tanah air, malah menjadi platform penting dalam mendidik masyarakat menghargai keamanan dan kemerdekaan yang dinikmati hari ini, sekali gus memperkukuh kedudukan Baling sebagai destinasi pelancongan warisan unggul di utara tanah air.

-RI

Tinggalkan komen anda