
Laporan/foto: Memi Yusoff/Mohd Ariff Ishak (Selangor)
SHAH ALAM, 7 Okt (MalaysiaAktif) – 6,000 peluang pekerjaan ditawar menerusi Karnival Kerjaya Jobcare Istimewa Selangor 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, semalam.

Papparaidu merasmikan Karnival Kerjaya Jobcare Istimewa Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
Program anjuran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor dengan kerjasama MYFutureJobs itu menghimpunkan lebih 40 syarikat dari pelbagai sektor seperti logistik, perkapalan dan perkilangan dengan 75 peratus daripadanya merupakan syarikat yang beroperasi di negeri Selangor.
Menurut EXCO Sumber Manusia Selangor, V. Papparaidu, karnival berkenaan bukan sahaja menawarkan ribuan peluang pekerjaan, malah gaji lebih kompetitif kepada pencari kerja.
“Sebanyak 70 peratus daripada tawaran kerja yang dibuka hari ini menawarkan gaji melebihi RM2,500 sebulan, ini adalah sebahagian daripada sasaran kita bukan sekadar menyediakan pekerjaan tetapi juga memastikan rakyat menerima imbuhan setimpal dan berpeluang meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya ketika merasmikan karnival berkenaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa karnival berkenaan bersifat inklusif dengan penglibatan terbuka kepada pelbagai kumpulan masyarakat termasuk lepasan graduan, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), bekas banduan dan warga emas.

Antara reruai pameran yang dilawati oleh Papparaidu di Karnival Kerjaya Jobcare Istimewa Selangor 2025
Pendekatan tersebut dilihat selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan ekonomi dan pasaran pekerjaan semasa.
Tambah Papparaidu, kerajaan negeri Selangor kini memberi tumpuan kepada usaha memperluaskan peluang pekerjaan dalam sektor teknologi tinggi, khususnya industri semikonduktor yang dilihat berpotensi besar dalam menjana pendapatan tinggi serta mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
-AA-





