Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

300 Penduduk Pelbagai Kaum Meriahkan Perayaan Tanglung di Dungun

By 7 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Dungun)

DUNGUN, 7 Okt (MalaysiaAktif) – Cahaya lampu berwarna-warni menerangi malam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Chone, Kampung Batu 5, Dungun apabila hampir 300 penduduk pelbagai kaum berhimpun bagi meraikan sambutan Perayaan Tanglung yang penuh warna-warni dan semangat perpaduan, di sini semalam.

Perarakan tang long oleh kanak-kanak dan penduduk setempat di sekitar Kampung Batu 5 menyerikan lagi suasana malam perayaan yang penuh warna-warni

Program anjuran bersama pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jawatankuasa Penduduk Kampung, Kelab Rukun Tetangga (KRT) dan Komuniti MADANI Kampung Batu 5 itu menjadi wadah menyatukan penduduk tanpa mengira latar belakang kaum dan budaya.

Menurut Guru Besar SJKC Sin Chone Teoh Joe Ann, Perayaan Tanglung bukan sekadar sambutan budaya masyarakat Cina semata-mata, malah menjadi jambatan menghubungkan komuniti pelbagai bangsa dalam suasana harmoni.

“Kami amat bersyukur melihat sambutan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa, komuniti setempat dan alumni sekolah. Ia membuktikan perpaduan masih subur dan menjadi kekuatan masyarakat di sini,” katanya.

Selain perarakan tanglung di sekitar Kampung Batu 5, pelbagai aktiviti turut dianjurkan termasuk persembahan tarian murid, pertandingan membuat tanglung serta permainan yang menguji kreativiti dan minda para peserta.

Guru Besar SJKC Sin Chone Teoh Joe Ann, tersenyum ceria di pentas utama sambutan Perayaan Tang Long yang berlangsung meriah di sekolah berkenaan

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Batu 5 Chang Hwee Mey, berkata kemeriahan sambutan tahun ini terserlah melalui penglibatan aktif masyarakat pelbagai kaum.

“Saya gembira melihat penduduk Melayu, Cina dan India sama-sama meraikan perayaan ini. Program seperti ini wajar diteruskan bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan di kampung kami,” katanya.

Majlis diserikan dengan pertunjukan bunga api dan nyalaan tanglung di perkarangan sekolah sebagai simbolik kepada semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat Kampung Batu 5.

Turut hadir, Aneta Ahmad Pegawai Penerangan Daerah Dungun, yang memuji penganjuran program berkenaan kerana berjaya menzahirkan keindahan perpaduan masyarakat Malaysia yang perlu terus dipelihara untuk generasi akan datang.

-AA-

Tinggalkan komen anda