
Laporan/foto: Abidin bin A. Ghani
HULU TERENGGANU, 7 Okt (MalaysiaAktif) – Projek SejaTi MADANI Tanaman Timun Melon Manis di Kampung Nibong, Hulu Terengganu membuka peluang pekerjaan dan menjana sumber pendapatan baharu kepada golongan beliawanis di kampung berkenaan.

Harmiza (kiri) berjaya menjana pendapatan lumayan melalui Projek Sejati MADANI Tanaman Timun Melon Manis
Menurut peneraju utama projek berkenaan, Harmiza Badrul beliau bersama enam beliawanis kampung tersebut telah mengusahakan tanaman timun melon manis sejak tiga bulan lalu di bawah bimbingan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Nibong Mohd Shafie Jusuh @ Yusuf.
“Ini merupakan pusingan kedua tanaman kami bagi tahun ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 700 pokok. Hasilnya sangat memberangsangkan dan memberikan pulangan yang agak lumayan,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, hari ini.
Beliau berkata bagi memastikan kualiti buah yang bermutu tinggi, setiap pokok hanya dibiarkan menghasilkan sebiji buah sahaja bagi memastikan saiz dan rasa yang terbaik.
“Timun melon manis ini dijual pada harga RM18 sekilogram, dengan purata berat antara 1 hingga 1.7 kilogram sebiji. Alhamdulillah, sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan, terutama yang melalui jalan kampung ini,” ujarnya lagi.

Beliawanis Kampung Nibong membuktikan bahawa pertanian moden mampu meningkatkan taraf ekonomi keluarga melalui hasil timun melon manis berkualiti premium
Sementara itu, Mohd Shafie berkata JPKKP sentiasa menggalakkan penduduk khususnya golongan muda, untuk menceburi bidang pertanian moden bagi meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
“Projek seperti ini bukan sahaja memberi peluang pekerjaan kepada beliawanis, malah dapat memperkukuh semangat kerjasama dalam komuniti kampung,” katanya.
Timun melon manis yang diusahakan turut dijual secara terus di tepi kebun dan menjadi tarikan penduduk setempat serta pengguna jalan yang melalui kawasan tersebut.
-AA-





